Ahad, 28 November 2021

40 kematian semalam, kes aktif turun

AGENDA DAILY

Jumlah kes kematian akibat komplikasi Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam, turun kepada 40 kes berbanding 45 yang dicatat pada Jumaat.

Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif kematian sejak awal tahun lalu hingga semalam sebanyak 30,280 kes.

Jumlah itu termasuk 6,124 pesakit yang meninggal dunia sebelum menerima rawatan di hospital atau ‘brought in death’ (BID).

Daripada jumlah kematian semalam, Perak mencatat jumlah tertinggi sebanyak enam kes menjadikan kumulatif sebanyak 1,241 kes, termasuk 162 kes BID. Sehingga semalam negeri itu merekodkan 122,263 kumulatif positif berbanding 118,699 pesakit sembuh.

Pada masa sama, Perak merekodkan 2,425 kes aktif, dengan 1,906 pesakit kini sedang menjalani kuarantin di rumah; 79 ditempatkan di PKRC; 394 dimasukkan ke hospital; dan 46 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 18 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bagi negeri-negeri lain, Kelantan, Selangor dan Terengganu masing-masing mencatat lima kematian; diikuti masing-masing tiga di Johor, Pahang, dan Pulau Pinang.

Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur pula masing-masing mencatat dua kes kematian; manakala masing-masing satu kes di Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, dan Perlis. Tiada kes kematian dilaporkan di Labuan dan Putrajaya.

Sementara itu, sehingga semalam negara merekodkan 67,252 kes aktif, turun 295 kes berbanding 67,547 kes yang dicatat pada Jumaat.

Daripada jumlah itu, 54,403 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 7,061 ditempatkan di PKRC; 5,278 dimasukkan ke hospital; dan 510 pesakit dirawat di ICU, dengan 258 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam juga, negara merekodkan 2,613,731 kumulatif positif, dengan 2,522,045 pesakit telah sembuh.

Tiada ulasan: