Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan 2.74 sen seunit bagi ASN Imbang (Mixed Asset Balanced) 1 (ASN Imbang 1) untuk tahun kewangan berakhir 30 November 2021.
Ia melibatkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM27.46 juta bagi unit amanah harga berubah itu, lapor Bernama.
Permodalan Nasional Bhd (PNB) menjelaskan pengagihan, yang diumumkan syarikat pengurusan unit amanah milik penuhnya itu, adalah bersamaan hasil dividen sebanyak 2.85 peratus berdasarkan Nilai Aset Bersih (NAB) terkini dana.
“Jumlah pengagihan pendapatan yang diisytiharkan adalah bersamaan 2.74 sen seunit yang memberi manfaat kepada 44,752 pemegang unitnya dengan pelaburan berjumlah 1.00 bilion unit,” menurutnya dalam kenyataan.
Setakat 26 November 2021, ASN Imbang 1 mencatatkan jumlah pulangan sebanyak 6.92 peratus, mengatasi penanda aras 50 peratus Indeks 100 Teratas FTSE Bursa Malaysia (FBM 100) dan 50 peratus deposi tetap 12 bulan Maybank sebanyak 7.13 peratus, tambahnya.
Menurut PNB, pengagihan yang diisytiharkan akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Disember 2021.
Dalam tempoh yang sama, ASN Imbang 1 mencatatkan pendapatan bersih direalisasikan sebanyak RM31.20 juta, sebahagiannya didorong oleh strategi kepelbagaian pelaburan ke pasaran antarabangsa, jelasnya.
“Sehingga kini, dana ini memperuntukkan sekitar 21 peratus daripada asetnya dalam ekuiti global yang menyumbang 61 peratus kepada pendapatan kasar.
“PNB akan meneruskan momentum usaha mempelbagaikan portfolionya agar institusi ini dapat memberikan pulangan yang mampan kepada para pemegang unit,” tambahnya.
Urus niaga di semua cawangan dan ejen ASNB untuk ASN Imbang 1 telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 26 hingga 30 November 2021 bagi memudahkan pengiraan pengagihan pendapatan.
Pemegang unit boleh menyemak dan mengemas kini akaun mereka di portal myASNB (www.myasnb.com.my), melalui aplikasi mudah alih myASNB, atau di mana-mana cawangan dan ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada 1 Disember 2021.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan