Ahad, 28 November 2021

Ismail Sabri tambah lagi penasihat khas, lantik Jamil Khir


Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menambah lagi seorang penasihat khas bagi membantunya dalam urusan pentadbiran kerajaan pusat, terbaharu beliau melantik Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai penasihat agama.

Jamil Khir merupakan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah dan pelantikannya terdedah kepada umum susulan beberapa pemimpin UMNO Kedah yang mengucapkan tahniah atas pelantikannya walaupun tidak ada sebarang pengumuman secara rasmi dari Ismail Sabri sendiri.

Sebuah portal melaporkan Jamil Khir sendiri mengesahkan pelantikan tersebut bagaimanapun tidak memperincikan skop dan peranan yang diberi kepada beliau berhubung pelantikan tersebut, namun menjelaskan akan menasihat kerajaan dipimpin Ismail Sabri melibatkan isu hal ehwal agama.

Terdahulu pada 10 Nov, didedahkan Ismail Sabri mempunyai tiga penasihat dalam bidang kesihatan, agama serta undang-undang dan hak asasi manusia

Pada Oktober lalu, Ismail Sabri mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dilantik Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia).

Selain itu, Ismail Sabri juga difahamkan melantik Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan sebagai Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri (PMO) selepas tular gambarnya dalam media sosial bersama Ismail Sabri di Pejabat Perdana Menteri.

Lantikan tersebut menimbulkan tanda-tanya sama ada Ismail Sabri sudah mengenepikan bekas PM Datuk Seri Najib Razak yang sebelum ini dikatakan bakal dilantik sebagai penasihat ekonomi, ia bagaimanapun tidak menjadi kenyataan susulan kritikan orang ramai.

Menurut laporan, kos bagi penasihat khas PM melibatkan sumber kewangan bernilai RM50,000 sebulan setiap seorang termasuk kakitangan mereka.

Jamil pernah menjadi Menteri Hal Ehwal Agama semasa pentadbiran Najib, bagaimanapun tewas di kerusi Parlimen Jerai kepada PAS pada 2018.

Tiada ulasan: