Sabtu, 27 November 2021

Muhyiddin pegang prinsip amar makruf nahi mungkar

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menandatangani buku Biografi Bergambar Abah Teguh ketika hadir ke Majlis Pelancaran Buku Biografi Bergambar Abah Teguh Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau berpegang kepada prinsip dianjurkan Islam iaitu ‘amar ma’ruf nahi mungkar’ walaupun sedar ia mungkin memberi kesan kepada pangkat dan kedudukannya.

Beliau berkata, banyak liku dan jatuh bangun yang terpaksa dilalui dalam perjuangan menegakkan prinsip dan hak berkenaan dalam perjalanan karier politiknya sehingga menerajui kepemimpinan negara.

Katanya, yang penting adalah melaksanakan amanah dan tanggungjawab di sisi Allah dan sebagai hamba beliau reda dengan ketentuan-Nya.

“Mungkin telah ditakdirkan oleh Allah atas sebab prinsip perjuangan yang saya tegakkan bersama rakan-rakan seperjuangan lain, saya telah diberikan amanah yang lebih besar untuk memimpin negara sewaktu pandemik.

“Saya diletakkan dalam suatu keadaan di mana saya perlu mengemudi negara dalam waktu yang paling sukar.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita, malah sejarah dunia sekalipun, terjadi suatu krisis yang mengancam nyawa dan kehidupan rakyat pada skala yang besar dan berlarutan untuk suatu tempoh yang panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran buku ‘Abah Teguh Kita Bersama’ di Kuala Lumpur, hari ini.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin 
Yassin (tengah) bergambar bersama ahli keluarganya ketika 
hadir ke Majlis Pelancaran Buku Biografi Bergambar Abah 
Teguh Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Lumpur, hari ini. 
GAMBAR: Abd Razak Aid

Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, walaupun hanya untuk satu tempoh yang singkat, mungkin apa yang beliau lakukan sepanjang berkhidmat sebagai Perdana Menteri mempunyai kesan yang agak mendalam kepada kehidupan rakyat.

Ujar beliau, mereka nampaknya menghargai apa yang beliau dan kerajaan pimpinannya lakukan untuk melindungi nyawa dan kehidupan mereka.

“Kerana itulah agaknya mereka memanggil saya Abah. Saya sendiripun tidak menjangkakan yang ramai orang baik tua atau muda memanggil saya dengan panggilan Abah.

“Ke mana-mana sahaja saya pergi orang panggil saya Abah. Saya dapat rasakan panggilan itu bukan dibuat-buat tetapi terbit dari hati nurani mereka yang jujur dan ikhlas,” katanya.

Menurutnya, beliau berasa amat tersentuh setiap kali disapa dengan panggilan Abah.

“Saya juga seorang ayah kepada empat orang anak. Sebagai seorang ayah, sepertimana saudara-saudara juga, tentulah kita mencurahkan sepenuh kasih sayang kita kepada anak-anak.

“Jadi, apabila orang memanggil saya Abah, datang suatu perasaan dalam diri saya seolahnya mereka telah merasai curahan kasih sayang saya, dan pastinya saya juga menyayangi mereka,”katanya.

Tiada ulasan: