Jumaat, 26 November 2021

Rasuah RM20,700, bekas koperal didenda RM100,000, wang simpanan dilucut hak

Anggota polis marin berpangkat koperal, Zubairi Abdul Mutalib yang berhadapan 144 pertuduhan rasuah dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh ketika pendakwaan Januari lalu./ Gambar media sosial

SEORANG pesara polis marin berpangkat koperal didenda RM100,000 atau penjara 57 bulan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini kerana menerima rasuah berjumlah RM20,700.

Hakim M. Bakri Abd Majid menjatuhkan hukuman itu selepas Zubairi Abdul Mutalib, 60, mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan pilihan.

Mahkamah turut memerintahkan wang simpanan tertuduh di dalam akaun Maybank Islamic Berhad berjumlah RM18,494.75  termasuk faedah sehingga hari ini dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.

Mengikut pertuduhan itu, Zubairi yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Jentera Ronda PSC 16 di Pengkalan Polis Marin, Kampung Acheh, Sitiawan telah memperoleh wang berjumlah RM20,700 daripada Tan Kuang Hooi, 50, yang diketahui mempunyai hubungan dengan kerja rasminya melibatkan penguatkuasaan di bawah Akta Perikanan 1985 ke atas bot bernombor pendaftaran vessel PKFA 9710.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di pusat bandar Sri Manjung antara 2 Mac hingga 29 Sept 2017 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Zubairi mengaku tidak bersalah di mahkamah sama pada 26 Jan lepas atas 43 pertuduhan menerima rasuah lebih RM146,000 sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan terhadap 18 bot yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Berhad, Cawangan Sitiawan antara 1 Mei 2016 hingga 30 Julai 2019 mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 27 Jan pula, Zubairi mengaku tidak bersalah atas 101 lagi pertuduhan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM membabitkan jumlah suapan lebih RM243,000 berhubung perbuatan sama.

Pada prosiding hari ini, mahkamah mempertimbang 137 pertuduhan di bawah akta SPRM itu mengikut Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah selepas tertuduh mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan pilihan di bawah Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Maziyah Mansor manakala Zubairi diwakili peguam Shahrullah Khan. — BERNAMA

Tiada ulasan: