Isnin, 29 November 2021

Menteri Perpaduan Negara enggan ulas isu papan tanda Jawi

zuhayati

Serahkan kepada KPM dan kerajaan negeri untuk selesaikan

BANGI – Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique enggan mengulas isu papan tanda nama sekolah baru tanpa aksara Cina yang melibatkan beberapa sekolah rendah bantuan kerajaan beraliran Cina di Pekan, Pahang.

Sebaliknya menjelaskan, keputusan mengenai papan tanda itu perlu melibatkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan kerajaan negeri Pahang.

“Dia begini, oleh kerana ini (melibatkan) jabatan pendidikan, saya ingat kita patut dapat respons daripada KPM dan keduanya kerajaan negeri,” katanya seperti dipetik Malaysia Gazette, hari ini.

Dalam pada itu, Halimah ketika ditanya mengenai sama ada tindakan tidak memasukkan aksara Cina itu selari dengan perpaduan negara, beliau menjelaskan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.

“Dia macam saya sebut dari segi penjenamaan itu, bahasa Melayu ini adalah bahasa kebangsaan.

“Jadi, kalau contoh nak diletak bahasa lain itu patut jadi keputusan kementerian tersebut, keduanya di peringkat negeri ada kaitan dengan kerajaan negeri, jadi kalau pada pandangan kerajaan negeri perlu ada keperluan itu terpulang kepada kementerian dan kerajaan negeri,” ujarnya.

Beliau dalam masa sama enggan mengulas apabila ditanya sama ada menghapuskan aksara Cina itu tidak menghormati bangsa lain.

“Saya tak nak jawab yang itu kerana menjurus kepada perkara spesifik. Saya ingat kita dapatkan respons dan kenyataan dari KPM,” ujarnya.

Terdahulu beliau hadir merasmikan Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan Kami@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 hari ini.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar Sinchew Daily baru-baru ini mengenai Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang yang membekalkan papan tanda mengandungi nama sekolah SJKC dalam bahasa Melayu dan tulisan Jawi, tetapi tidak dalam aksara Cina.

Sekolah terbabit adalah SJKC Yoke Hwa dan SJKC Kee Wha.

Tiada ulasan: