SINGAPURA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memulakan lawatan rasminya ke Singapura hari ini, dengan menghadiri majlis sambutan di Istana di sini.
Kunjungan ini adalah lawatan rasminya yang pertama ke republik ini sejak dilantik sebagai Perdana Menteri.
Di majlis itu, Ismail Sabri memeriksa kawalan kehormat dan seterusnya menandatangani buku pelawat.
Perdana Menteri turut diberi penghormatan apabila satu spesis hibrid anggerik baharu dinamakan sempena namanya, dan beliau kemudiannya membuat kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura, Halimah Yacob.
Terdahulu pagi tadi, Ismail Sabri bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, melancarkan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VCL) laluan darat Singapura-Malaysia.
Ismail Sabri diiringi Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarbangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong; dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.
Ismail Sabri dijadualkan menghadiri perjumpaan empat mata dengan Lee kemudian nanti, sebelum mengadakan persidangan media bersama, yang akan disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Hsein Loong.
Wisma Putra dalam kenyataan semalam, berkata lawatan itu akan dilaksanakan dengan pematuhan penuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia dan Singapura. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan