Selasa, 30 November 2021

Merdeka 118 pemangkin ekonomi

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pembinaan Merdeka 118, iaitu menara kedua tertinggi selepas Burj Khalifa, akan memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia dengan menjadi pemangkin baharu ekonomi, bagi Kuala Lumpur.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Merdeka 118 dengan ketinggian 678.9 meter membawa semangat Keluarga Malaysia kerana memberi peluang masyarakat setempat membangunkan perniagaan.

"Selain itu, mereka juga dapat mengadakan program atau aktiviti untuk menambahkan daya tarikan di kawasan sekitar Merdeka 118 menerusi Program Geran Komuniti Merdeka 118.

"Pembangunan Merdeka 118 juga dapat memberi peluang kepada masyarakat setempat, terutamanya di kawasan yang berdekatan seperti Petaling Street, Kampung Attap serta Pudu untuk menjana ekonomi," katanya selepas merasmikan penyempurnaan puncak menara Merdeka 118, di sini hari ini.

Pembinaan Menara Merdeka 118 setinggi 118 tingkat oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) sudah mencapai 85 peratus dan dijangka siap sepenuhnya sebelum hujung tahun depan.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, permohonan Geran Merdeka 118 dibuka pada 28 Jun sehingga 20 Ogos 2021, dan Keluarga Malaysia boleh memohon untuk mendapatkan tiga jenis geran iaitu sukan, seni dan komuniti perniagaan.

Tiada ulasan: