Jumaat, 26 November 2021

Pelajar perempuan berjaya lepaskan diri selepas dilarikan di hadapan sekolah

SEORANG pelajar perempuan dilarikan seorang lelaki menaiki Perodua Kancil di hadapan sekolahnya di Taman Molek, Johor Jaya, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 6.50 pagi semasa pelajar berumur 13 tahun itu baru turun daripada van sekolah.

Katanya, dalam insiden itu, pelajar berkenaan berjaya melepaskan diri kira-kira 400 meter dari lokasi kejadian.

“Pelajar itu menyatakan selepas turun daripada van, sebuah kereta dipandu lelaki tempatan tidak dikenali, datang kepadanya serta meminta dia menghantar satu borang ke sekolah, dan lelaki itu meminta pelajar berkenaan masuk ke dalam kereta, namun dia enggan.

“Kemudian mangsa ditarik masuk ke dalam kereta dan dibawa lari di sekitar Taman Molek kira-kira 400 meter dari lokasi kejadian, sebelum pelajar itu berjaya melepaskan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelajar itu kemudiannya meminta bantuan orang awam, dan polis sedang giat berusaha mengesan lelaki berkenaan.

Kata beliau, pihaknya mengesahkan menerima laporan polis berkaitan insiden itu yang dibuat oleh mangsa.

Mohd Sohaimi berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melarikan orang.

“Dalam kejadian ini, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya.

Tiada ulasan: