Jumaat, 26 November 2021

Ladang Lestari 2523 tingkat pendapatan peneroka

Idris diberi taklimat dan dipertontonkan demonstrasi penghantaran dan penggredan buah tandan segar pada Pelancaran Inisiatif Ladang Lestari 2523 sempena Hari Produktiviti dan Kualiti Perladangan 2021 di Kilang Sawit FGV Moakil Segamat hari ini. FOTO BERNAMA
Idris diberi taklimat dan dipertontonkan demonstrasi penghantaran dan penggredan buah tandan segar pada Pelancaran Inisiatif Ladang Lestari 2523 sempena Hari Produktiviti dan Kualiti Perladangan 2021 di Kilang Sawit FGV Moakil Segamat hari ini. FOTO BERNAMA

MUAR: FELDA melancarkan inisiatif Ladang Lestari 2523 bagi objektif dapat meningkatkan pendapatan peneroka sebanyak kira-kira RM5,000 sebulan pada 2023.

Pengerusinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, berdasarkan inisiatif itu, pihaknya menyasarkan produktiviti ladang peneroka bagi buah tandan segar sebanyak 25 tan sehektar setahun serta kadar perahan minyak (OER) setinggi 23 peratus menjelang 2025.

"Ladang ini mampu mencapai sasaran ini walaupun sebelum ini sasaran 25 tan dianggap pelik dan terlalu tinggi, begitu juga dengan OER 23 peratus, pasti ada yang geleng kepala.

"Namun kini saya dimaklumkan OER di Kilang Sawit FGV Moakil meningkat kepada 24 peratus. Menerusi inisiatif ini, permuafakatan antara kilang dan peneroka akan meningkatkan lagi hasil produktiviti dan kualiti hasil ladang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan inisiatif Ladang Lestari itu bersempena sambutan Hari Produktiviti dan Kualiti Perladangan Felda 2021 di FELDA Maokil, hari ini. Turut hadir, Pengerusi FGV Holding Berhad, Datuk Dzulkifli Abd.Wahab.

Idris berkata, inisiatif ini turut memperkasa pengurusan ladang dengan penggunaan teknologi pintar, selari dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) selain mengurangkan 50 peratus kebergantungan kepada buruh asing dan pengurangan 20 peratus kos operasi.

Katanya, FELDA turut melaksanakan beberapa kaedah antaranya sistem Penyelesaian Pengurusan Perladangan Pintar (SPMS), memperkenalkan baka biji benih sawit baharu 'Yangambi 3-way' yang lebih produktif, penggunaan baja pintar serta amalan pertanian baik yang lain.

"Strategi penuaian hasil pula akan memfokuskan kepada pengurangan ketirisan hasil di ladang, memastikan hasil kebun peneroka dihantar ke kilang FELDA dan mengekalkan pematuhan minyak sawit mampan Malaysia (MSPO) dan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO)," katanya.

Tiada ulasan: