Selasa, 30 November 2021

Malaysia akan terus aktif bawa agenda Palestin – Ismail Sabri

MALAYSIA akan terus secara aktif membawa agenda Palestin ke arah merealisasikan aspirasi rakyat negara itu mencapai kebebasan.

Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga menegaskan negara ini menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan Palestin ke arah penubuhan sebuah negara yang merdeka.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia bersama masyarakat antarabangsa berdiri teguh atas matlamat yang sama untuk mencari penyelesaian secara damai, adil dan saksama ke atas penderitaan yang dialami rakyat Palestin.

“Tahun ini menandakan 74 tahun semenjak Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima pakai Resolusi 181 (ii) tahun 1947 dan 44 tahun selepas pengisytiharan Hari Solidariti Antarabangsa bersama rakyat Palestin diumumkan oleh PBB.

“Malaysia menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan Palestin dan akan terus secara aktif membawa agenda ke arah merealisasikan aspirasi rakyat Palestin mencapai kebebasan dan penubuhan sebuah negara yang merdeka,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau berkata demikian sempena menyambut Hari Solidariti Antarabangsa bersama rakyat Palestin yang disambut hari ini.

Hari yang signifikan itu disambut sejak 1978 diilhamkan menerusi resolusi Perhimpunan Agung PBB pada 2 Disember 1977.

Tiada ulasan: