Sabtu, 27 November 2021

50,000 pelancong kunjungi Dabong setiap bulan

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
 

KOTA BHARU: Kerajaan negeri berusaha meningkatkan lagi sektor pelancongan di Dabong selepas lokasi itu menjadi tumpuan utama pelancong sekarang.

Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, Mejar (B) Dato’  Md Anizam Ab Rahman berkata, Dabong popular selepas tular fenomena ‘Train to Dabong’ sehingga dikunjungi kira-kira 50,000 pelancong dalam tempoh sebulan. 

Katanya kerajaan negeri akan berbincang pihak berkuasa tempatan, pengusaha rumah tumpangan dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mewujudkan chalet yang sesuai. 

“Setakat ini hanya empat pengusaha chalet yang terdapat di Dabong termasuk diusahakan Majlis Daerah Dabong.

“Selepas ini mungkin akan muncul lebih banyak homestay. Kita galakkan perkembangan sektor tersebut, cuma mereka kena menjaga kebersihan dan keselamatan pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyampaian bantuan sara hidup kepada penarik beca siri kedua di pekarangan pejabat Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) di sini semalam.

Seramai 27 pengayuh beca menerima bantuan tersebut yang disumbang kerajaan negeri.  

Md Anizam pada majlis penyampaian bantuan sara hidup 
kepada penarik beca siri kedua di pekarangan pejabat TIC, 
Kota Bharu, Kelantan, semalam.

Md Anizam juga berkata, masalah kekurangan chalet atau rumah tumpangan merupakan kekangan di Dabong sekarang bagi menampung kebanjiran lebih ramai pelancong.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sebelum ini menambahkan tren bagi laluan Tumpat-Dabong memandangkan berlaku pertambahan permintaan sehingga 300 peratus September lepas. 

KTMB menggunakan set berkembar tren Diesel Multiple Unit (DMU) yang boleh memuatkan 416 penumpang berbanding 208 penumpang sebelum ini.

Perkhidmatan Shuttle Timuran nombor 55 dan 56 laluan Tumpat ke Dabong diadakan pada setiap hujung minggu iaitu Jumaat, Sabtu dan cuti umum. Ia mula beroperasi pada 8 Oktober lepas. HARAKAHDAILY

 

Tiada ulasan: