Oleh Zatul Iffah Zolkiply
KUALA TERENGGANU: Kira-kira 25 peratus daripada 700 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu sudah menerima dos penggalak vaksin COVID-19.
Pengarah JBPM Terengganu, Md Hilman Abd Rashid, berkata baki selebihnya khususnya mereka yang terbabit dalam tugasan pengurusan bencana banjir dijangka selesai menerima suntikan dos penggalak masing-masing menjelang Disember ini.
Beliau berkata, dos penggalak itu penting kepada kakitangan JBPM terutama mereka yang terbabit dalam operasi menyelamat dan memindahkan mangsa bencana dan sebagainya.
"Kita telah memasuki peralihan Monsun Timur Laut, jadi semua petugas yang terbabit dalam operasi penyelamatan diberi keutamaan untuk suntikan dos penggalak ini.
"Penugasan dalam keadaan negara dilanda wabak COVID-19 sememangnya mencabar termasuk ketika menguruskan mangsa banjir.
"Kita sentiasa peka dan mengambil berat berhubung aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang menjalankan tugas bagi mengelak penularan COVID-19," katanya selepas meninjau proses suntikan dos penggalak di Ibu Pejabat JBPM Terengganu, hari ini.
Sementara itu, Md Hilman berkata, seramai 100 pegawai dan anggota di negeri itu dijangkiti COVID-19 sejak hampir dua tahun pandemik melanda negara.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 88 daripadanya sudah sembuh manakala 12 orang lagi masih lagi dalam proses pemulihan dengan menjalani kuarantin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan