Pengguna tuntut penjelasan kerajaan masih ketat penguatkuasaan
BANGI – Untuk tujuan apa lagi pelaksanaan cas 20 sen pada penggunaan beg plastik sedangkan majoriti pasaraya dan kedai sudah menggunakan plastik jenis ‘biodegradable’, soal Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Mohd Izzat Johari.
Atas sebab itu, beliau berkata, pengguna ingin penjelasan daripada kerajaan Pusat dan negeri yang masih mengetatkan penguatkuasaan cas 20 sen terhadap penggunaan plastik di premis perniagaan.
Katanya, pada peringkat awal, pelaksanaan itu dikuatkuasakan di semua premis jualan awam bagi tujuan menukar penggunaan plastik biasa kepada jenis ‘biodegradable’.
“Waktu itu, plastik jenis ‘biodegradable’ agak mahal kerana pengeluarannya masih di peringkat baharu dan terhad.
“Jadi ketika itu dengan alasan penguatkuasaan, kerajaan sedia ada telah menguat kuasa cas 20 sen ke atas setiap helaian plastik yang digunakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan kemudiannya mencadangkan cas 20 sen dikenakan pula terhadap setiap sekali pembelian selepas timbul banyak kekeliruan.
“Tidak cukup dengan kekeliruan tersebut, kerajaan ketika itu sekali lagi pening apabila pelaksanaan cas 20 sen berlaku setiap hari atau hari tertentu sahaja.
“Setelah semua menteri ketika itu ‘masuk air’, barulah diputuskan sebagai hari Sabtu dan Ahad sebagai hari tanpa plastik. Jika mahu plastik, cas 20 sen akan dikenakan,” katanya.
Mohd Izzat berkata, dalam tempoh perubahan polisi itu, pengeluaran plastik ‘biodegradable’ sudah semakin stabil dan ramai di kalangan pihak pasaraya serta premis jualan awam sudah mula menukar penggunaannya ekoran kos sudah hampir sama dengan harga plastik biasa.
“Akan tetapi, cas 20 sen masih terus berlaku kerana ada pihak pasaraya atau pihak kedai yang menjadikan alasan untuk mereka menjual beg kain yang telah ditempah banyak dan risau tidak laku, mereka ‘mempergunakan’ alasan tidak ada penggunaan plastik pada Sabtu dan Ahad, sedangkan mereka sudah pun menggunakan plastik jenis ‘biodegradable’.
“Kini majoriti pasaraya dan kedai sudah menggunakan plastik jenis ‘biodegradable’ dan harganya sudah setara dengan plastik biasa tetapi pelaksanaan cas 20 sen untuk tujuan apa lagi?,” soalnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan