Rabu, 24 November 2021

Banjir kilat bukan kerana lebuh raya

Sungai Ampang selepas kejadian banjir lumpur di Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
Sungai Ampang selepas kejadian banjir lumpur di Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH

KUALA LUMPUR: Pemegang konsesi Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE), EKVE Sdn Bhd menafikan banjir kilat yang berlaku di Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang kelmarin berpunca daripada projek raya terbabit.

EKVE dalam kenyataan, hari ini memaklumkan banjir kilat yang berlaku berpunca daripada hujan yang terlalu lebat sehingga menyebabkan aras air Sungai Ampang naik mendadak dan melimpah ke kawasan rendah.

"Bacaan meteorologi di Bukit Antarabangsa dan Puncak Atheneum, masing-masing menunjukkan kadar ketumpatan hujan sebanyak 144 milimeter (mm) dan 138 mm yang dikategorikan sebagai sangat lebat, berlarutan selama lebih kurang tiga jam di sekitar Ampang.

"Ini menyebabkan aras air di Sungai Ampang khususnya, naik mendadak dan melebihi paras bahaya seperti direkodkan di laman sesawang Info Banjir Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) pada jam 7:30 petang, 22 November 2021," katanya.

Menurut kenyataan itu, situasi berkenaan menyebabkan banyak kawasan rendah termasuk jalan raya utama dinaiki air dan berlakunya banjir kilat di sekitar Ampang dan Hulu Langat.

"Perkara ini turut dijangka akan berlaku akibat musim monsun timur laut seperti kenyataan dikeluarkan oleh Unit Pengurusan Bencana, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada 17 November lalu.

"Bagaimanapun, EKVE sudah mengambil langkah memberi bantuan segera kepada mangsa banjir di kawasan terbabit dengan turut menjalankan kerja pembersihan dan lain-lain mengikut keperluan," katanya.

Menurut kenyataan itu, kontraktor sentiasa memastikan pelaksanaan sistem kawalan hakisan kelodak di tapak diselenggara dan ditambah baik daripada semasa ke semasa seperti pematuhan syarat penilaian impak alam sekitar (EIA) yang diluluskan.

"Kerja pembinaan hanya berbaki pembinaan jambatan, tembok penahan, 'roadbase', 'pavemen' dan bangunan plaza tol. Semua kerja tanah di tapak sudah selesai.

"Pihak agensi bertanggungjawab juga sentiasa turun ke tapak bina untuk memantau pelaksanaan projek ini," katanya.

Katanya lagi, kemajuan kerja pembinaan di tapak sehingga akhir bulan Oktober lalu sudah mencapai 95 peratus dan pembinaan lebuh raya EKVE dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya pada suku pertama tahun depan.

Semalam, Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata tanah yang tergelongsor dari projek EKVE berhampiran, memasuki Sungai Ampang mengakibatkan sungai berkenaan menjadi cetek.

Katanya, keadaan sungai yang cetek tidak dapat menampung kuantiti air yang banyak sehingga melimpah dan menyebabkan berlaku banjir lumpur di kawasan berhampiran.

Pekerja mengangkat sampah dan peralatan yang rosak di Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang selepas kejadian banjir. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
Pekerja mengangkat sampah dan peralatan yang rosak di 
Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang selepas kejadian 
banjir. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH

Tiada ulasan: