Jumaat, 26 November 2021

Portal MyDigital.KKMM promosi perkhidmatan dalam talian

PORTAL setempat pelbagai perkhidmatan dalam talian,  MyDigital.KKMM  dilancarkan hari ini bagi membolehkan rakyat menggunakan dan memanfaatkan landskap digital serta mempromosikan jalur lebar.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, portal berkonsepkan pameran maya itu mampu mempertingkatkan kefahaman rakyat terhadap ekosistem digital serta program berkaitan pendigitalan bagi memudahkan mereka mendapatkan maklumat menerusi satu portal.

Beliau berkata portal itu membolehkan segala maklumat di bawah promosi jalur lebar disatukan dan menjadi portal yang turut disertai pelbagai kementerian untuk mempamerkan kandungan dan program berkaitan digitalisasi.

“Portal ini memberi ruang kepada semua agensi, kementerian dan syarikat telekomunikasi untuk mempastikan segala maklumat disampaikan kepada khalayak dengan berkesan dan berterusan,” katanya  kepada pemberita selepas melancarkan MyDigital.KKMM di Putrajaya hari ini.

Annuar berkata MyDigital.KKMM itu berlainan daripada portal lain kerana ia berkonsepkan pameran maya yang membolehkan kementerian, agensi dan syarikat telekomunikasi membuat promosi tentang kandungan dan program masing-masing serta mendekati pengguna dengan lebih mudah tanpa melayari banyak portal dalam satu masa.

Beliau berkata portal itu juga memfokuskan kepada memperkasakan Keluarga Malaysia untuk menjadi pengguna yang bijak dan berhemah dalam penggunaan teknologi komunikasi serta membina masyarakat bermaklumat melalui penyampaian informasi secara cepat dan tepat.

“Jangan anggap ini portal kementerian, ini portal untuk rakyat. Tempat untuk semua masuk (ke portal) untuk menerima maklumat,” katanya.

Beliau berkata, MyDigital.KKMM itu yang kini dalam Bahasa Melayu dan Inggeris akan ditambah baik dalam versi bahasa mengikut kumpulan etnik di negara ini termasuk Sabah dan Sarawak memandangkan objektif utamanya adalah untuk memastikan setiap rakyat mendapat maklumat berkaitan agenda digital negara dengan berkesan.

“Inisiatif portal ini diharap memberi kesedaran kepada semua tentang kepentingan jaringan jalur lebar dan penggunaan media sosial secara positif dalam kalangan Keluarga Malaysia kerana teknologi digital perlu dimanfaatkan sepenuhnya khusus dalam mendepani peralihan ke ekosistem digital selari dengan usaha kerajaan dalam era Revolusi Industri 4.0 dan pelaksanaan 5G di Malaysia,” katanya.— BERNAMA

Tiada ulasan: