KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Kewangan Malaysia, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berhubung royalti Kelantan didakwa tidak selari dengan kenyataan-kenyataan Kerajaan Persekutuan sebelum ini.
Bahkan, hak rakyat Kelantan didakwa seakan-akan diperkecil dan diperlekehkan sekali lagi dengan kenyataan tersebut.
Pembayaran wang ehsan adalah tidak sama dengan pembayaran royalti hasil minyak yang dinyatakan di dalam akta-akta berkaitan petroleum negara.
Malah, Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Akta 144) memberikan hak penuh kepada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk menguruskan dan mentadbir aktiviti-aktiviti minyak dan gas di Malaysia, kata Shahir Adnan, Pengerusi Parti Ikatan Malaysia (Ikatan).
Lantaran itu, menurutnya, Ikatan Kelantan menyokong penuh kenyataan Menteri Besar Kelantan yang mahukan penjelasan lebih terperinci daripada Menteri Kewangan dan sebarang kenyataan daripada Kerajaan Persekutuan perlu berlandaskan konsep federalisma dan semangat Keluarga Malaysia.
Tambahnya, rakyat Kelantan juga adalah rakyat Malaysia dan wang royalti dari laut negeri ini wajar digunakan untuk pembangunan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, syarikat-syarikat yang terlibat dengan penerokaan, pembangunan dan pengeluaran perlu mendapatkan lesen dari Petronas sebelum memulakan aktiviti di kawasan perlombongan minyak dan gas di Malaysia.
Mengikut Seksyen 4 Akta 144, Pembayaran wang tunai oleh perbadanan, ”Sebagai balasan bagi pemunyaan dan hak, kuasa, kebebasan dan keistimewaan yang diletakhakkan padanya menurut akta ini, perbadanan itu hendaklah membuat apa-apa pembayaran wang tunai sebagaimana yang dipersetujui antara pihak-pihak yang berkenaan kepada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan mana-mana negeri yang berkenaan”.
Shahir yang juga Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) berkata, secara jelas, tiada jarak pengukur diletakkan di dalam akta ini bagi menyatakan kerajaan Negeri Kelantan tiada hak royalti petroleum kerana jarak melebihi 3 batu nautika atau 5.56 km.
”Sebagai jarak pengukur, medan minyak dan gas di utara Malaysia dari Kota Bharu adalah sekitar 150 km.
”Jarak medan minyak terdekat dari Kerteh, Terengganu adalah sekitar 170 km. Mengapa ada ketidakadilan apabila Negeri Terengganu mendapat royalti minyak, namun di Kelantan dikenali sebagai wang ihsan?,” soal beliau.
Medan pengeluar minyak dan gas yang hampir dengan Kelantan adalah medan Bintang, Lawit dan Bergading dan Medan Bintang merupakan pengeluar gas terbesar di Semenanjung Malaysia.
Di utara Malaysia, bersempadanan dengan Thailand, kawasan pembangunan petroleum dikenali sebagai Malaysia-Thailand Joint Development Area (MTJDA), yang jaraknya dekat dengan Kota Bharu, mengeluarkan hasil gas sekitar 1.3 Billion kaki persegi gas setiap hari, dengan pengeluaran dari medan-medan gas seperti Medan Bulan, Cakerawala, dan Muda.
Mengikut Akta MTJA 1990, syarikat minyak dan gas perlu membuat pembayaran sebanyak 10% daripada pengeluaran kasar bagi tujuan royalti.
Beliau turut mempersoalkan ke manakah Pembayaran sememangnya dibuat setiap tahun oleh syarikat-syarikat pengeluar. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan