Ahad, 28 November 2021

Harga sayur naik, 8 notis dikeluarkan kepada peniaga Pulau Pinang

Oleh KHUZAIRI ISMAIL
PPDNHEP Pulau Pinang mengeluarkan lapan notis kepada pengimport, pengeksport dan pemborong sayur sejak Rabu lalu sehingga semalam untuk memberikan maklumat berkenaan kenaikan harga barang tersebut.

GEORGETOWN: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) negeri mengesahkan sekurang-kurangnya tiga jenis sayur mengalami kenaikan harga di Pulau Pinang ketika ini. 

Sayur-sayuran itu adalah kacang buncis yang mengalami kenaikan kira-kira RM3 sekilogram apabila dijual pada harga antara RM15-RM17 berbanding RM12-RM14 sebelum ini. 

Turut menyaksikan kenaikan harga adalah sayur kubis bulat import daripada RM4-RM5 sekilogram kepada RM5-RM7 serta sekilogram cili akar merah daripada RM13-RM15 kepada antara RM15-RM20. 

Sehubungan itu, Pengarah PPDNHEP negeri, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, pihaknya tmengeluarkan sebanyak lapan notis pengesahan maklumat barangan di bawah Seksyen 21 Akta  Kawalan Harga dan Antipencatutan  (AKHAP) 2011 kepada pengimport, pengeksport dan pemborong sayur di sini antara 24 November lalu sehingga semalam. 

Secara keseluruhan juga, ujar beliau, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 46 notis pengesahan maklumat barangan dan  lima notis bertulis di bawah seksyen sama kepada peniaga sayuran sepanjang tahun ini untuk memberikan maklumat berkenaan kenaikan harga barangan tersebut. 

Jelasnya, selain pemeriksaan oleh anggota  penguat kuasa PPDNHEP, sebanyak 186  jenis barangan turut dipantau secara harian oleh Pegawai Pemantau Harga  yang merangkumi 41 premis pasar serta  31 pasar raya super dan hiper terpilih  di  seluruh negeri  itu. 

“Berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan  pada 22 November sehingga  semalam di  pasar awam,  didapati terdapat beberapa  jenis sayuran yang mengalami  kenaikan  harga dan ada beberapa jenis sayuran yang mengalami penurunan harga. 

“Bagaimanapun, harga sayuran di  pasar raya adalah jauh lebih murah jika  dibandingkan dengan harga yang ditawarkan di pasar awam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Dalam perkembangan berkaitan tambah Mohd. Ridzuan, Seksyen Penguatkuasa  PPDNHEP negeri sepanjang tahun ini telah melakukan sebanyak 47,578 pemeriksaan berkaitan harga barang. 

Daripada jumlah itu tambahnya, sebanyak  373 kes dihasilkan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011  yang  melibatkan kompaun sebanyak RM46,850. 

Selain itu jelasnya, sebanyak 374 notis pengesahan maklumat barangan dan 139 notis bertulis  di bawah seksyen sama telah dikeluarkan  kepada peniaga bagi mendapatkan maklumat kenaikan harga barangan. 

“Sepanjang tahun ini juga, sebanyak 237 aduan melibatkan harga telah diterima  dengan 133 daripadanya melibatkan harga barang yang mahal.  

“Daripada aduan harga berkenaan, sebanyak 26 kes telah dibuka untuk tindakan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: