Isnin, 29 November 2021

Tabung COVID-19 Pulau Pinang kumpul lebih RM7.1 juta

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

GEORGETOWN: Tabung COVID-19 Pulau Pinang yang dilancarkan pada Mac tahun lalu sudah menerima sumbangan lebih RM7.1 juta daripada pelbagai pihak termasuk orang awam.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata daripada jumlah berkenaan kira-kira RM3.8 juta diterima sepanjang tahun ini.

Katanya, sumbangan untuk tabung itu diterima daripada pelbagai jabatan serta agensi kerajaan negeri, badan berkanun negeri, anak syarikat kerajaan negeri, syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu.

"Setakat ini, kira-kira RM2.55 juta sumbangan berkenaan sudah dibelanjakan bagi menangani isu berkaitan COVID-19 dengan baki kira-kira RM4.6 juta," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Kon Yeow (DAP-Padang Kota), berkata demikian bagi menjawab soalan lisan dikemukakan Dr Afif Bahardin (BERSATU-Seberang Jaya), mengenai status Tabung COVID-19 berserta perincian jumlah sumbangan yang dikumpulkan melalui tabung itu.

Jelasnya, baki wang sumbangan yang masih ada akan digunakan bagi tujuan berkaitan menangani pandemik COVID-19 pada masa hadapan.

"Selain sumbangan ini, kerajaan negeri juga memperuntukkan RM195 juta untuk pelbagai pakej insentif kepada rakyat sejak pandemik melanda.

"Pada masa sama, kerajaan negeri turut menerima peruntukan daripada agensi kerajaan Persekutuan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan sebagainya bagi mengendalikan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) serta banyak lagi," katanya.

Tiada ulasan: