Isnin, 29 November 2021

Jabatan Kesihatan Kedah jejak punca JE

Punca kemunculan virus JE akan dijejaki
Punca kemunculan virus JE akan dijejaki

ALOR SETAR: Jabatan Kesihatan Kedah akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Perhilitan Negeri bagi menjejaki kawasan berisiko menjadi punca kemunculan virus Japanese Encephalitis (JE).

Pengarahnya, Dr Othman Warijo, berkata virus itu akan dijejak di tempat takungan dan kumbahan ladang ternakan babi atau babi hutan yang menjadi tempat pembiakan nyamuk culex.

"Jabatan Veterinar dan Perhilitan ada data serta maklumat mengenai keberadaan haiwan berkenaan. Berdasarkan maklumat berkenaan, operasi bersama boleh dilakukan.

"Virus ini disebarkan oleh nyamuk menyebabkan jangkitan kepada manusia, haiwan ternakan, burung, kelawar, ular dan katak.

"Selepas jangkitan, virus akan menyerang sistem saraf pusat iaitu otak dan saraf tunjang. Virus JE tidak berjangkit sesama manusia atau apabila manusia memakan daging babi yang membawa virus berkenaan," katanya hari ini.

Semalam Jabatan Kesihatan Kedah mengisytiharkan wabak JE di daerah Kota Setar selepas mengesan dua kes jangkitan penyakit itu bulan ini.

Kes pertama dilaporkan pada 18 November lalu disusuli kes kedua pada 25 November dengan kedua-dua mangsa meninggal dunia.

Mengulas lanjut, Dr Othman berkata tiada rawatan khas untuk JE setakat ini.

"Antibiotik tidak berkesan melawan virus dan tiada ubat anti-viral ditemui, tumpuan hanya kepada rawatan mengurangkan gejala dan rawatan komplikasi saja," katanya.

Tiada ulasan: