Isnin, 29 November 2021

Penggunaan katil ICU tinggi di Lembah Klang

Jabatan Kecemasan Hospital Sungai Buloh dijadikan sebagai ICU COVID-19. - Foto Facebook Dr Noor Hisham Abdullah
Jabatan Kecemasan Hospital Sungai Buloh dijadikan sebagai ICU COVID-19. - Foto Facebook Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR: Kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) di Lembah Klang, termasuk untuk kes bukan COVID-19, dilaporkan tinggi berbanding negeri lain.

Menurut laman sesawang COVIDNOW yang dikemas kini sehingga 11.59 malam tadi, kadar penggunaan katil ICU di Lembah Klang dilaporkan sebanyak 81.1 peratus atau membabitkan seramai 121 pesakit, berbanding 62.9 peratus penggunaan katil ICU seluruh negara atau seramai 510 pesakit.

Purata penggunaan katil ICU seluruh negara dalam tempoh tujuh hari ialah seramai 541 pesakit, sementara bagi Lembah Klang saja 124 katil.

Daripada data itu, kadar penggunaan katil ICU paling tinggi dilaporkan di Putrajaya iaitu 90 peratus (tujuh kes); Selangor (80.9 peratus atau 86 kes) dan Kuala Lumpur (79.8 peratus atau 28 kes).

Ini diikuti Pulau Pinang iaitu 77.4 peratus atau 32 kes; Kelantan (77.1 peratus atau 38 kes); Terengganu (71.2 peratus atau 30 kes); Perak (68.1 peratus atau 46 kes) dan Negeri Sembilan (59.2 peratus atau 18 kes).

Penggunaan katil rawatan di hospital di seluruh negara sebanyak 66.4 peratus yang juga merangkumi kes bukan COVID-19, dengan 39.1 peratus dilaporkan memerlukan alat bantuan pernafasan dan 33.6 peratus pesakit COVID-19 ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Sementara itu, vaksinasi lengkap COVID-19 bagi penduduk remaja berusia di antara 12 hingga 17 tahun sebanyak 84.7 peratus atau 2,664,877 individu, sementara mereka yang baru menerima sekurang-kurangnya satu dos seramai 2,776,260 orang.

Bagi tempoh 24 jam lalu, seramai 2,296 individu diberikan pelalian COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan 5,441,137 dos sudah diberikan setakat ini.

Bagi vaksinasi dewasa, sehingga 11.59 tengah malam tadi, sebanyak 22,504,497 individu lengkap vaksinasi dan 2,194,849 orang sudah diberikan dos penggalak.

Dengan itu, pemberian vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi populasi keseluruhan seramai 77.1 peratus atau membabitkan 25,169,374 individu, sementara mereka yang menerima sekurang-kurangnya satu dos membabitkan 25,821,111 orang.

Penggunaan katil ICU lebih 60 peratus di seluruh negara. - Foto KKM
Penggunaan katil ICU lebih 60 peratus di seluruh negara. - 
Foto KKM

Tiada ulasan: