Selasa, 30 November 2021

Kes Guan Eng: Nazri Aziz akui terima RM500k tapi untuk baiki sekolah


Bekas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz memberitahu beliau berkawan dengan Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn Bhd (CZBUCG), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, sejak 1990-an lagi.

Membacakan pernyataan saksi dalam kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, veteran UMNO itu memberitahu beliau tidak mempunyai hubungan rapat dalam urusan perniagaan mahupun politik.

Namun, katanya Zarul pernah menyuarakan hasratnya untuk bertemu ‘orang yang berkuasa’ di Pulau Pinang bagi melaksanakan projek di negeri berkenaan.

“Saya tidak pasti bila beliau berkata demikian. Saya mengambil inisiatif menghubungi Lim dan memaklumkan kepadanya ada seseorang yang mahu menemuinya,” katanya.

Pertemuan antara Lim dan Zarul berlaku di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur, pada awal Januari 2011. Lim dan Zarul kemudian sekali lagi berjumpa di sebuah restoran Itali di Kuala Lumpur pada Mac 2011.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu juga memberitahu beliau tidak pernah menerima wang daripada Zarul sebagai balasan memperkenalkannya kepada Guan Eng bagi mendapatkan apa-apa projek di Pulau Pinang.

Sebaliknya, beliau berkata, Zarul yang pernah memberikan wang kepada beliau untuk disumbangkan kepada sekolah-sekolah agama di daerah Pattani, Selatan Thailand.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, Nazri berkata, beliau mula mendapatkan sumbangan untuk sekolah-sekolah agama di Pattani sejak 1990-an.

Saksi pendakwaan ke-14 itu beliau berasal dari Hulu Perak dan berketurunan Pattani kerap mengadakan lawatan di daerah itu dan mendapati sekolah-sekolah agama di sana dalam keadaan daif.

Nazri memberi keterangan pada perbicaraan Guan Eng atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul dilantik melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

Tiada ulasan: