KUALA LUMPUR: Pelaksanaan saringan bergilir COVID-19 untuk murid sekolah rendah akan dilaksanakan pada setiap Rabu hari persekolahan.
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan, berkata pihaknya yang mengeluarkan surat pemakluman mengenai pelaksanaan saringan bergilir itu dalam masa terdekat.
"KPM menyambut baik saranan Kementerian kesihatan (KKM) dan akan melaksanakan 10 peratus sampel saringan COVID-19 secara mingguan dengan kaedah penggiliran, selaras Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan (NTS) yang ditetapkan KKM.
"KPM telah membekalkan Kit Ujian Kendiri COVID-19 ke sekolah rendah bagi memastikan ujian saringan ini dapat dilaksanakan seperti tatacara pelaksanaan ujian kendiri COVID-19 yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0," kata kenyataan itu, hari ini.
Sementara itu, KPM menyarankan agar ketetapan itu turut terpakai di semua sekolah rendah institusi pendidikan swasta yang berdaftar dengan KPM.
"KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik," katanya.
Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan murid sekolah rendah perlu menjalani ujian saringan COVID-19 secara mingguan bermula Isnin ini.
Katanya, ia sebahagian daripada NTS selain bertujuan mengelakkan penularan kluster pendidikan di sekolah.
"Antara perkara di bawah strategi ini adalah keperluan untuk sekolah rendah, yang mana muridnya adalah di bawah usia kelayakan untuk menerima vaksin, perlu menjalani ujian saringan.
"Ujian ini perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya pada 10 peratus sampel (murid) daripada populasi murid sekolah secara bergilir-gilir dan pada sampel yang berbeza setiap minggu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan