Ahad, 28 November 2021

Makanan sedap, tetapi tikus maharajalela

 Danisyah Dalily

Di sekitar daerah Petaling, beberapa kedai makan didapati bersikap sambil lewa dan cuai dalam mengekalkan tahap kebersihan.

Ketika tumpuan banyak diberikan terhadap usaha membendung Covid-19 sejak dua tahun lalu, masalah lain masih berterusan termasuk isu kesihatan yang melibatkan kebersihan restoran dan kedai makan.

Di sekitar daerah Petaling sahaja, beberapa kedai makan dilihat cuai dan bersikap sambil lewa dalam langkah-langkah mengekalkan tahap kebersihan, di mana ia boleh menyebabkan penularan penyakit berjangkit dalam kalangan pelanggan.

Pemeriksaan MalaysiaNow mendapati beberapa kedai makan berada dalam keadaan tidak bersih di sekitar Subang, Puchong dan Shah Alam, di mana beberapa premis dikelilingi sampah-sarap dan saluran longkang tersumbat dengan sisa makanan.

Di beberapa kedai makan tepi jalan di Subang, kulat ditemui tumbuh di singki dan kawasan dapurnya.

Fatimatul Zahra, 24, menetap di Subang Jaya sejak kecil dan sering makan bersama rakan-rakannya di restoran sekitar kawasan kejiranan SS15.

Ketika bercakap kepada MalaysiaNow, dia menceritakan pengalamannya melihat seekor tikus bersaiz besar seperti seekor kucing di luar sebuah restoran baru-baru ini.

Katanya, ia merupakan satu “perkara yang biasa” yang dilihatnya di sekitar bandar tempat tinggalnya, bahkan sudah terbiasa dengan perkara sedemikian.

“Selagi tikus ada di luar dan tidak mendekati saya, saya okay,” katanya.

“Tambahan pula makanannya sedap dan saya tidak pernah mengalami keracunan makanan waktu makan di sana, jadi saya rasa tidak mengapa.”

Dia berkata orang ramai masih makan di restoran atau gerai makan walaupun keadaannya tidak bersih kerana makanannya sedap dan suasana di premis itu juga sesuai untuk bergaul dengan rakan-rakan.

“Sama juga macam kedai mamak yang kotor,” katanya.

“Tidak kira banyak berapa kali masuk berita, orang masih pergi ke sana kerana ia adalah tempat terbaik untuk bersosial.”

Suasana bahagian dapur kedai makan tepi jalan di SS19 dilihat 
perlu dibersihkan dari sisa makanan dan lekatan minyak yang 
tebal.

Rajaselvam, yang tinggal di USJ 18 dan kerap ke restoran di sekitar USJ dan Shah Alam turut bersetuju.

Bagaimanapun, katanya tidak semua kedai makan mempunyai masalah kebersihan.

“Tidak semua restoran di Petaling kotor. Saya boleh kata ada beberapa restoran boleh dianggap sebagai ‘kurang bersih’,” katanya.

“Namun walaupun beberapa tempat tersebut tidak begitu bersih, orang masih pergi ke sana untuk melepak.”

Kadang-kadang, katanya, orang ramai sanggup bersabar dengan keadaan yang tidak bersih semata-mata untuk tidak ketinggalan dengan trend terkini.

Rajaselvam memberi contoh trend teh boba yang yang menyaksikan kedai-kedai menjual minuman popular Taiwan itu dibuka sekitar SS15 seperti cendawan selepas hujan.

“Bukan satu hal yang luar biasa untuk lihat orang ramai berkerumun di gerai tersebut, walaupun tikus lalu-lalang di kaki mereka.”

Awal tahun ini, jabatan kesihatan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menangkap dan meracun 161 tikus di lorong belakang Jalan SS15/4D.

Ahli Majlis MBSJ Ken Chia turut memuat naik gambar tikus yang berjaya ditangkap di akaun Facebook, mencetuskan pelbagai reaksi daripada orang ramai terhadap program “pemusnahan tikus” tersebut.

Usaha sedemikian dijalankan sejak 2013, namun masalah tikus masih tidak kunjung reda.

Fatimatul berkata, pembiakan mendadak tikus mungkin disebabkan oleh pengurusan sisa makanan yang tidak betul di lorong belakang restoran dan sisa minyak dari restoran sehingga menyebabkan longkang tersumbat.

Perkara ini terus menjadi isu walaupun pengusaha restoran diwajibkan memasang perangkap minyak di dapur mereka.

Bagaimanapun, Rajaselvam berkata, akhirnya perkara ini terpulang kepada orang ramai untuk sama-sama menjaga kebersihan di tempat awam.

“Apabila bercakap tentang kebersihan, semua orang perlu mengambil bahagian dan menyedari akibat jangka panjang jika hal ini terus berlarutan,” kata Rajaselvam.

“Tanpa peraturan ketat dan kerjasama daripada semua pihak, kedai makan yang kotor akan terus menjadi masalah dan boleh menjadi punca kepada penularan penyakit berjangkit.”

Tiada ulasan: