Sabtu, 27 November 2021

Pemuda MCA: Ada ‘persoalan serius’ berhubung pertuduhan ke atas Najib

(Malaysiakini) – Terdapat “persoalan-persoalan serius” dalam pendakwaan jenayah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berkaitan skandal 1MDB, menurut Pemuda MCA.

Pemuda MCA berkata, ini kerana pendakwaan itu difailkan sebelum penyiasatan terhadap dakwaan penglibatan ahli keluarga bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz dalam skandal sama, dilengkapkan.

“Persoalan juga timbul, apakah jenayah menyembunyikan keterangan telah berlaku memandangkan maklumat berkenaan ahli keluarga Zeti dibayar (puluhan) juta ringgit oleh Jho Low juga tidak diberikan kepada mahkamah untuk digunakan oleh peguam Najib bagi tujuan pembelaannya.

“Hakikat bahawa Najib dituduh dahulu sebelum penyiasatan ke atas Zeti dilengkapkan turut menimbulkan persoalan-persoalan serius, memandangkan dia (Zeti) disenaraikan sebagai saksi pendakwaan utama dalam kedua-dua perbicaraan SRC International dan 1MDB Najib.

“Setiap orang berhak mendapat perbicaraan yang adil, dan tindakan pihak pendakwaan menyimpan maklumat penting ini mungkin kelihatan telah melanggar prinsip ini,” katanya sayap MCA itu dalam kenyataan hari ini.

Jho Low, atau nama sebenarnya Low Taek Jho, merupakan pelarian dan individu utama dalam dakwaan kecurian dana 1MDB.

Pada Khamis lalu, bekas peguam negara Tommy Thomas berkata siasatan terhadap penglibatan ahli keluarga Zeti tidak selesai dalam tempohnya memegang jawatan.

“Pada peringkat itu, kertas siasatan SPRM ke atas Zeti dan lain-lain, belum selesai. Saya tidak pernah berpeluang melihat kertas siasatan itu.

“Apa yang saya ingin katakan ialah jika kertas siasatan selesai dan ada kes yang kukuh serta meyakinkan, pendakwa raya akan melakukan yang perlu.

“Jika bekas perdana menteri atau bekas timbalan perdana menteri tidak terlepas daripada pendakwaan, sudah pasti bekas gabenor bank pusat juga tidak akan terlepas,” kata Thomas.

Pendakwaan 1MDB ke atas Najib dibuat pada 2018.

Bagaimanapun, Pemuda MCA berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada masa itu mesti menjelaskan kenapa siasatan ke atas Zeti tidak didedahkan kepada awam.

“Zeti dilantik sebagai ahli Majlis Penasihat Kerajaan kerajaan (PH) dan turut dilantik sebagai pengerusi Permodalan Nasional Berhad yang menyelia RM400 bilion dana awam, meskipun kerajaan PH sudah pun sedar mengenai perkara yang dibangkitkan ini.

“Oleh itu, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dan polis mesti menjelaskan kelewatan panjang dalam penyiasatan ini – lebih-lebih lagi apabila polis Singapura telah mengambil tindakan seawal 2019,” katanya.

Pada 19 November lalu, SPRM mengumumkan yang Singapura telah memulangkan kepada Malaysia sejumlah AS$15.4 juta wang berkaitan 1MDB yang melibatkan sebuah syarikat dimiliki secara bersama oleh suami Zeti, Tawfiq Ayman.

Terdahulu, dilaporkan bahawa Singapura telah memaklumkan kepada BNM berhubung transaksi mencurigakan daripada Jho Low kepada sebuah syarikat dimiliki Tawfiq semasa Zeti masih lagi mengetuai bank pusat berkenaan.

Menurut The Edge, pemindahan berjumlah AS$16.22 juta itu berlaku pada 2008 dan 2009, dan dimaklumkan kepada BNM pada 2015 dan 2016 apabila Singapura mula menyiasat pemindahan berkaitan 1MDB.

Tiada ulasan: