Khamis, 25 November 2021

PRU segera tak sesuai lagi walaupun UMNO boleh menang besar: Mahdzir

Walaupun keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menampakkan keputusan yang memberangsangkan tetapi ia bukan alasan untuk mempercepatkan pilihan raya umum (PRU) diadakan, kata Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Naib Presiden UMNO itu menyifatkan ketika ini bukan masa sesuai untuk kerajaan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-15, malah pandangan semua pihak perlu diambilkira terlebih dahulu dan bukan hanya pandangan pemimpin UMNO sahaja.

“Kita tidak boleh hanya mengambil kira pandangan pemimpin parti UMNO sahaja tetapi perlu dengan pendapatan semua pihak termasuk rakyat di akar umbi kerana mereka yang nak keluar mengundi.

“Pada ketika ini rakyat mahu melihat sejauh mana kesungguhan kerajaan mahu melandaikan lagi penularan wabak Covid-19 dan yang kedua ialah dari segi pemulihan ekonomi negara,” katanya dipetik laporan media.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar merasmikan sambutan Hari Inovasi dan Pelancaran Pelan Strategik Pendigitalan KPLB di Putrajaya.

Mahdzir berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau bersetuju atau tidak dengan tindakan beberapa pemimpin politik termasuk Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mendesak kerajaan segera melaksanakan PRU-15 berikutan kemenangan besar dicapai Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, pada Sabtu lalu.

Pada PRN Melaka lalu, BN berjaya menang dua pertiga selepas menguasai 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan, manakala Pakatan Harapan (PH) menang lima kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) hanya dua.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, tindakan berkenaan perlu kerana ramai dalam kalangan penduduk Malaysia termasuk pekerja serta perusahaan kecil dan sederhana masih terkesan dan sedang dalam proses pemulihan selepas hampir dua tahun negara dilanda pandemik Covid-19.

“Mereka baru hendak memulakan kehidupan. Apabila pandemik Covid-19 ini semakin pulih rakyat mahu kembali bekerja dan mencari rezeki.

“Ramai PKS mahu kembali berniaga semula selepas mendapat pelbagai bantuan kewangan daripada kerajaan termasuk dari Mara, Risda, Felcra dan KPLB sendiri sehingga masalah pendemik pulih,” katanya.

Bagaimanapun, Mahdzir berkata, beliau bersetuju jika kerajaan mahu mengadakan PRU-15 selepas keadaan ekonomi semakin pulih dan rakyat boleh menjalani kehidupan seperti biasa.

Tiada ulasan: