Gerakan dalam UMNO sedang berjalan bagi mendesak Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen pada Februari tahun depan bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan, dedah sumber.
Spekulasi PRU-15 mahu disegerakan semakin kuat selepas kemenangan bergaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini, malah kenyataan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan dan disusuli dengan kenyataan senada daripada pemimpin akar umbi parti menguatkan lagi wujud gerakan tersusun untuk mendesak Ismail Sabri.
Alasan yang diberikan supaya PRU-15 disegerakan adalah bagi meneruskan momentum dalam PRN Melaka dan UMNO begitu yakin dapat memperoleh kemenangan bergaya sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru yang dilihat memberi kelebihan kepada mereka.
Menurut sumber, Ismail Sabri kini diberi tekanan pemimpin atasan UMNO khususnya daripada kem Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Terdapat desakan daripada orang-orang Zahid untuk mendesak supaya PRU-15 diadakan selewat-lewatnya Februari tahun depan… Ismail Sabri tidak mahu mengambil risiko penularan Covid-19 yang semakin reda bagaimanapun terdapat pemimpin UMNO yang mahu menamatkan segera kemelut politik negara.
“Gerakan untuk mendesak Ismail Sabri sudah dimulakan pemimpin akar umbi dalam UMNO, khususnya mereka yang berada dalam kem Zahid dan Najib (Datuk Seri Najib Razak),” kata sumber.
Lebih memburukkan keadaan lagi, akar umbi UMNO semakin cenderung menyokong Zahid dan Najib terutamanya selepas kemenangan PRN Melaka, malah insiden Ismail Sabri ‘diboo’ penyokong UMNO semasa menunggu keputusan PRN Melaka di Bilik Gerakan Utama Barisan Nasional (BN) baru-baru ini sekaligus menunjukkan popularitinya dikalangan akar umbi sangat buruk.
Menurut sumber, insiden di Melaka amat mengecewakan Ismail Sabri apabila diejek sedemikian dan satu penghinaan baginya.
“Semasa Zahid dan Najib tiba, penyokong UMNO bersorak seakan meraikan ketibaan wira mereka… Tetapi apabila Ismail Sabri tiba beliau disorak dengan ‘boo’, ia memberi gambaran akar umbi yang menolak Ismail Sabri,” katanya lagi.
Tindakan penyokong UMNO di Melaka baru-baru ini juga merupakan cerminan persepsi negatif terhadap Naib Presiden UMNO tersebut, malah difahamkan terdapat juga segelintir yang tidak mahu melihat beliau kekal menjadi PM.
“Akar umbi melihat Ismail Sabri tidak setia kepada Zahid, ia boleh dilihat semasa krisis sebelum ini apabila UMNO berpecah dua… Malah, cara Ismail Sabri naik sebagai PM juga tidak disukai akar umbi kerana namanya dicadangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin,” kata sumber.
Terdahulu, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN dilaporkan berkata PRU-15 wajar diadakan dalam masa terdekat dengan mengambil kira sentimen rakyat ketika ini yang dilihat memihak kepada BN.
Mohamad juga berkata sudah menyuarakan pandangan itu kepada Ismail Sabri Sabtu lalu, selepas BN memenangi PRN Melaka.
Bagaimanapun, seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid kurang bersetuju dengan cadangan Mohamad dengan berkata keputusan PRN Melaka bukan alasan untuk mempercepatkan PRU diadakan.
Beliau berkata ketika ini bukan masa sesuai untuk kerajaan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-15, malah pandangan semua pihak perlu diambilkira terlebih dahulu dan bukan hanya pandangan pemimpin UMNO sahaja.
“Kita tidak boleh hanya mengambil kira pandangan pemimpin parti UMNO sahaja tetapi perlu dengan pendapatan semua pihak termasuk rakyat di akar umbi kerana mereka yang nak keluar mengundi.
“Pada ketika ini rakyat mahu melihat sejauh mana kesungguhan kerajaan mahu melandaikan lagi penularan wabak Covid-19 dan yang kedua ialah dari segi pemulihan ekonomi negara,” katanya dipetik laporan media.
Mengambilkira sampel kejayaan dalam PRN Melaka, UMNO dan BN kini mengintai strategi sama dengan memastikan pertembungan tiga penjuru di setiap kerusi Parlimen yang ditandingi dengan harapan ia akan membawa hasil yang sama seperti di Melaka.
UMNO dan BN begitu yakin dengan strategi mengheret semua parti yang ada di Malaysia masuk bertanding sehingga mewujudkan pertembungan banyak penjuru bakal memberi mereka kelebihan.
Jika dalam PRN Melaka, UMNO dan BN berjaya memperoleh majoriti dua pertiga maka tidak mustahil untuk mereka mengulangi kejayaan sama tetapi mereka perlu memastikan wujud pertembungan tiga penjuru dalam setiap kerusi Parlimen ditandingi.
Hanya dengan strategi pertembungan tiga penjuru, UMNO dan BN akan mampu meraih kemenangan besar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan