Rabu, 24 November 2021

SOP PRN-12 Sarawak belum muktamad

Oleh Mohd Roji Kawi
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, menunjuk tarikh hari mengundi bagi PRN-12 Sarawak selepas Sidang Media Mesyuarat Khas Urusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-12 di Kuching. - Foto NSTP/NADIM BOKHARI
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, menunjuk tarikh hari mengundi bagi PRN-12 Sarawak selepas Sidang Media Mesyuarat Khas Urusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-12 di Kuching. - Foto NSTP/NADIM BOKHARI

KUCHING: Garis panduan pencegahan COVID-19 bagi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak akan diumumkan dalam tempoh terdekat selepas ia diteliti dan dimuktamadkan semua pihak berkaitan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata ketika ini, prosedur operasi standard (SOP) PRN Sarawak sedang dikemas kini oleh Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan tarikh penting PRN-12 Sarawak, di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, SPR melaksanakan beberapa penambahbaikan pada PRN-12 Sarawak, yang akan diadakan pada 18 Disember depan.

Ia termasuk memansuhkan syarat kelayakan pengundi pos luar negara yang dilaksanakan sebelum ini.

"Syarat yang dimansuhkan itu ialah bermastautin di luar negara kecuali di Wilayah Selatan Thailand seperti Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun selain Singapura, Brunei dan Kalimantan, Indonesia.

"Turut dimansuhkan ialah syarat pernah berada di Malaysia atau kembali ke Malaysia tidak kurang dari 30 hari dalam tempoh lima tahun sebelum tarikh pembubaran DUN berkuat kuasa," katanya.

Beliau berkata, SPR turut menyediakan saluran khusus bagi pengundi berusia 60 tahun ke atas di setiap pusat mengundi.

Tempoh masa pengundian turut dipanjangkan selama 30 minit, bermula jam 7.30 pagi hingga 5 petang berbanding jam 8 pagi hingga 5 petang sebelum ini.

Bagi pengundi kalangan orang kelainan upaya (OKU) pula, kemudahan mengundi bagi mereka disediakan di Saluran 1.

"Seramai 13,871 pengundi OKU dikenal pasti dan mereka berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Sementara itu, katanya, seramai 82 Pegawai Pengurus Pilihan Raya dilantik bagi memastikan kelancaran proses PRN-12 dan dibantu 249 Penolong Pegawai Pengurus.

"Bagi memantau semua aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR menubuhkan 155 Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR).

"Pasukan PP-KPR dianggotai oleh wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan dan wakil calon yang bertanding," katanya.

Beliau berkata, seramai 46,565 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRN-12 Sarawak di 1,866 pusat mengundi biasa, yang mengandungi 3,555 tempat mengundi atau saluran dan 85 pusat mengundi awal yang mengandungi sebanyak 111 saluran.

"Keseluruhan pusat mengundi adalah sebanyak 1,951 dengan 3,666 tempat mengundi dan saluran," katanya sambil memaklumkan sebanyak RM150 juta diperuntukkan bagi mengendalikan PRN-12 Sarawak.

Tiada ulasan: