Rabu, 24 November 2021

Buka sempadan abai hak bas ekspres

Pengusaha bas ekspres tidak dimaklumkan mengenai tarikh pembukaan sempadan darat dengan Singapura. - Foto hiasan NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pengusaha bas ekspres tidak dimaklumkan mengenai tarikh pembukaan sempadan darat dengan Singapura. - Foto hiasan NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

KUALA LUMPUR: Sekretariat Gabungan Bas Malaysia mempersoal pembukaan sempadan Malaysia-Singapura bermula Isnin ini yang disifatkan sebagai mengabaikan hak perkhidmatan bas ekspres dan bas persiaran.

Pengerusinya, R Thiagarajan, berkata pengumuman kerajaan Johor berhubung pembukaan sempadan itu juga tidak konsisten dengan perbincangan di antara Kementerian Pengangkutan dan pengusaha serta persatuan bas rentas sempadan, pada 15 November lalu.

Beliau berkata, sekretariat itu serta pengusaha dan persatuan bas rentas sempadan lain tidak dimaklumkan mengenai tarikh pembukaan sempadan dalam perbincangan dengan kementerian.

"Pengangkutan bas di bawah kuasa Kementerian Pengangkutan. Bagaimana kerajaan negeri boleh mengambil keputusan terburu-buru, sedangkan kami baru mengadakan mesyuarat berkenaan?

"Isu yang dibangkitkan pada 15 November lalu masih tidak mendapat penjelasan, mahupun jalan penyelesaian.

"Kami juga kesal tidak dijemput semasa ujian percubaan diadakan semalam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khamis lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad mengumumkan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) darat di antara Malaysia dan Singapura akan dilaksanakan serentak dengan VTL udara, 29 November ini.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan yang memutuskan perjalanan darat hanya untuk pemegang pas jangka panjang.

Katanya perjalanan darat di antara Singapura dan Johor Bahru itu hanya merangkumi sempadan pas jangka panjang untuk semua yang bekerja atau pekerja di Singapura yang bekerja di Johor Bahru.

Kerajaan Persekutuan juga, katanya mempertimbang perjalanan darat di antara Singapura dan Johor Bahru dengan kemudahan sama seperti ditawarkan Changi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Thiagarajan yang juga Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas Negeri Johor berkata, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong gagal menjaga kebajikan industri bas semasa pandemik.

Katanya, kerajaan mesti bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah pengusaha bas seperti pinjaman dengan syarikat kredit.

Thiagarajan berkata, sekretariat itu sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi berhubung hak pengusaha bas isu pinjaman.

Tiada ulasan: