“ITU bukan teacher, itu kembar teacher. Siapa percaya? Teacher tak main TikTok,” kata Haryati Ahmad.
Gaga-gara beberapa kali pernah tular di laman TikTok, gelagat seorang guru cuba “menafikan” dirinya adalah orang tersebut selepas kantoi dengan anak murid sendiri mencuri tumpuan warganet sekali lagi.
Menerusi video pendek @yattahmad23, gelagat lucu ketika menafikan persoalan anak muridnya bahawa dia mempunyai beberapa buah video yang tular di laman TikTok, telah menarik perhatian lebih daripada 823,000 ribu tontonan serta menerima lebih daripada 85,000 tanda suka.
Bercerita kepada UtusanTV, beberapa video yang dimuat naik olehnya di laman TikTok pernah menjadi tular dan Haryati sudah menjangkakan bahawa anak muridnya akan bertanya mengenai perkara itu.
“Persoalan mereka itu saya tak terkejut pun sebab ada tiga video saya pernah viral dahulu. Video pertama yang viral tentang saya terbang sambil bekas makanan dekat suami. Kedua, saya buat lagi video sambungan terbang tapi saya masuk TikTok ‘Merdeka Challenge’. Video yang ketiga tentang saya acah-acah pergi negara Switzerland,” kata anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang.
Tambahnya lagi, dia percaya penggunaan gajet sepenuhnya sepanjang tempoh Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) menyebabkan muridnya terperasan kewujudan video kreatif yang dikongsi di laman TikTok.
“Jadi saya rasa sebab itu video saya masuk dalam ‘for your page’ mereka. Jadi sekarang bila naik sekolah, mereka panggil saya Teacher TikTok.
Katanya yang mengajar murid tahap 1, beliau gemar berborak dengan anak murid sementara tunggu loceng berbunyi.
“Biasa saya akan tanya mereka buat apa, pergi mana. Jadi bila isu saya viral di TikTok, hari-hari mereka akan tanya saya tentang video TikTok saya. Tapi saya memang tak akan mengaku itu saya,” ujarnya.
Tambahnya, pada awalnya mereka percaya itu bukan guru mereka, tapi lama-kelamaan mereka baru sedar itu adalah dirinya.
“Saya saja rekod video berborak dengan mereka itu. Sampai ke sudah saya tidak dapat menepis,” ujar ibu kepada lima orang anak sambil tertawa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan