Ahad, 21 November 2021

PRN Melaka: Seorang pengundi di Alor Gajah positif COVID-19

SEORANG pengundi yang keluar mengundi di daerah Alor Gajah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka disahkan positif COVID-19.

Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah telah menerima notifikasi daripada Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Melekek bahawa terdapat satu kes positif COVID-19 melibatkan seorang pengundi.

Kata beliau, pengundi terbabit telah keluar mengundi di salah sebuah pusat mengundi dalam daerah Alor Gajah.

Menurut Dr. Rusdi, keputusan ujian bagi pesakit itu telah diterima daripada makmal swasta setelah selesai proses mengundi.

“Pesakit ini tidak menunjukkan sebarang gejala pada waktu mengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Dr. Rusdi memaklumkan Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah telah mengambil tindakan segera iaitu mengarahkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat mengundi terlibat.

Beliau berkata, ia bagi memastikan pusat mengundi itu ditutup sementara kawasan berisiko termasuk saluran mengundi untuk proses disinfeksi menyeluruh.

Dr. Rusdi memberitahu, disinfeksi itu telah dijalankan dengan kerjasama bomba.

“SPR juga telah mengambil langkah segera membuka bilik baharu sebagai saluran mengundi dengan menggunakan peralatan baharu.

“Pasukan pemantauan Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah juga telah diarahkan ke pusat mengundi terlibat untuk memastikan kawalan infeksi dijalankan secara teratur.

“Jabatan ini memandang serius perkara yang berlaku ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan dengan terperinci.

“Semua kontak rapat dan sosial sedang disiasat oleh Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah,” jelas beliau.

Tiada ulasan: