Khamis, 25 November 2021

Segerakan pelaksanaan projek ekonomi, perniagaan – PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mempengerusikan mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri, semalam.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak semua kerajaan negeri supaya menyegerakan pelaksanaan projek-projek berkaitan ekonomi dan perniagaan bagi merancakkan semula aktiviti ekonomi.

Pada masa sama, Ismail Sabri turut menyeru semua pihak untuk mengetepikan latar belakang serta fahaman politik demi membawa negara keluar daripada kemelut COVID-19 serta memulihkan ekonomi sejajar dengan pendekatan Keluarga Malaysia.

Perkara berkenaan disuarakannya dalam mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) Ke-137 yang dipengerusikan Perdana Menteri, semalam.

Kata beliau, antara perkara yang perlu ditangani dan ditambah baik adalah kelewatan proses kelulusan berkaitan tanah dan lesen perniagaan di peringkat kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Semua kerajaan negeri juga perlu meningkatkan sistem dan proses penyampaian dengan mengurangkan kerenah birokrasi menerusi inisiatif pendigitalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mesyuarat MBKM itu diadakan setelah lebih setahun akibat pandemik COVID-19.

Kali terakhir mesyuarat MBKM diadakan adalah pada 17 Mac 2020.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, mesyuarat berkenaan turut membincangkan usaha bersama kerajaan pusat dan negeri untuk merealisasi Agenda Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Negara termasuk memulih kemusnahan hutan serta degradasi tanah menjelang tahun 2030.

Bagi mencapai matlamat tersebut, beliau memaklumkan, kerajaan sedang mempertimbangkan pemberian insentif kepada kerajaan-kerajaan negeri untuk melaksanakan program dan projek bagi menjamin kelestarian biodiversiti.

“Pemberian berbentuk pampasan tersebut merupakan inisiatif menggalakkan kerajaan-kerajaan negeri meningkatkan penjagaan serta pemuliharaan hutan termasuk mengawal aktiviti pembalakan dan mewartakan kawasan tadahan air,” jelas beliau.

Tiada ulasan: