Khamis, 25 November 2021

Lebih 500,000 peminjam PTPTN tidak pernah buat bayaran balik

Menara Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang terletak di jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur. GAMBAR: Abd Razak Aid

SERAMAI 539,284 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak pernah membuat bayaran balik setakat 30 September lalu, menurut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

KPT dalam jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini memaklumkan, jumlah itu adalah daripada 2,424,009 orang peminjam yang telah menamatkan pengajian dan patut mula membayar balik pinjaman mereka yang berjumlah hampir RM24.6 bilion.

“Daripada jumlah itu seramai 1,884,725 orang peminjam telah membuat bayaran balik dengan 751,216 peminjam telah menyelesaikan pinjaman.

“Seramai 427,861 peminjam sedang membuat bayaran balik secara konsisten mengikut jadual bayaran balik, manakala 705,648 peminjam membuat bayaran balik namun secara tidak konsisten,” menurut kementerian itu.

KPT menjawab persoalan Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) yang ingin tahu bilangan peminjam yang masih berhutang dengan PTPTN dan jumlah kewangan yang terlibat.

Menurut kementerian itu lagi, sehingga 30 September lepas, PTPTN meluluskan pinjaman kepada lebih 3.5 juta peminjam dengan jumlah pengeluaran lebih RM64.8 bilion.

15 November lalu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, hampir 800,000 peminjam pembiayaan PTPTN telah pun menyelesaikan pinjaman masing-masing.

Kata beliau, ia merangkumi 77.75 peratus peminjam PTPTN.

Secara keseluruhan, sebanyak RM15.5 bilion telah berjaya dikutip menerusi pembayaran balik pinjaman PTPTN. – BERNAMA

Tiada ulasan: