Selasa, 23 November 2021

Saya bukan anti Muafakat Nasional, Umno – Ahmad Fadhli

MALAYSIA POST

Saya bukan anti Muafakat Nasional, Umno – Ahmad Fadhli

KETUA Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari menolak dakwaan menyatakan beliau anti Muafakat Nasional (MN) dan Umno. 

Sambil menyifatkan tohmahan itu agak tersasar, Ahli Parlimen Pasir Mas tersebut menegaskan hubungannya dengan pemimpin Umno khususnya di Parlimen sangat baik tanpa masalah. 

Malah menurutnya, ketika perbahasan di Parlimen beliau memberikan sokongan kepada sahabat-sahabat dari Umno. 

“Ketika MP Jelutong bangkitkan sentiasa isu RM100 juta hadiah kepada MP Pekan (Datuk Seri Najib Razak), berkali-kali juga saya bangun minta MP Jelutong tidak menyebut isu berkenaan. 

“Bukanlah kerana saya menyokong MP Pekan dalam hal isu RM100 juta itu di mana saya tiada maklumat tentangnya, tetapi topik itu telah disebut dan tidak guna diulang-ulang untuk memesongkan perbahasan semasa. 

“Beberapa minggu lepas, saya bangun mencelah di hujung ucapan MP Pekan, mohon penjelasan isu Pulau Batu Putih. Ini kerana sepanjang sejam perbahasan beliau, tidak disentuh isu ini sedangkan bagi saya, beliau mempunyai maklumat terperinci. 

“Selepas ucapan, beliau datang ucap terima kasih kerana bangkitkan isu berkenaan, yang mana bagi saya tidak perlu untuk beliau ucapkan terima kasih, kerana sebaliknya saya yang perlu berterima kasih kerana diberi peluang mencelah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya. 

Ahmad Fadhli berkata, begitulah hubungannya dengan Ahli-Ahli Parlimen Umno di Dewan Rakyat. 

Katanya lagi, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sering berpesan, dengan MN jangan putus, usahakan juga agar PRU15 nanti tiada pertembungan tiga penjuru. 

“Bagaimana masa depan PAS dan Umno dalam MN ini, saya tidak boleh jawab kerana saya tidak terlibat antara rundingan dua parti ini. 

“Saya hanya menerima arahan, menerima arah tuju ditentukan parti. Secara peribadi, melihat kepada keputusan di Melaka, saya fikir sangat perlu untuk dielak pertembungan tiga penjuru di seluruh negara,” katanya. 

Namun beliau berkata dalam hal berdepan manusia yang memesongkan fakta, mengambil kenyataan sekerat lalu membuat pemahaman sendiri, orang seperti itu tidak berguna untuk politik negara, di dalam parti apa sekalipun.    

“Manusia seperti ini hanyalah dedalu politik, datangnya langsung tiada faedah, bahkan menambah toksik untuk memastikan dirinya besar dan segar. 

“Saya bukan anti kepada  parti tertentu, namun ya, saya sangat anti kepada manusia seperti ini,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Ahmad Fadhli

Tiada ulasan: