Selasa, 23 November 2021

PRU15 destinasi mutlak BN – Zahid

MALAYSIA POST

PRU15 destinasi mutlak BN – Zahid

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan gabungan itu bahawa memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah matlamat utama mereka.

Sambil mengucapkan kesyukuran berikutan kemenangan besar BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu lalu, Ahmad Zahid menyifatkan itu adalah permulaan baik dalam usaha BN mengembalikan kestabilan politik untuk negara.

“Syukur Alhamdulillah, sesungguhnya penilaian Umno tentang apa yang terbaik demi masa depannya untuk rakyat ternyata tepat.

“Saya ulangi bicara saya bahawa PRN Melaka adalah permulaan kita. PRU15 merupakan destinasi kita.

“Kestabilan demi kemakmuran rakyat dan negara adalah misi kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Presiden Umno itu jelas gembira dengan prestasi BN di Melaka dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang masih setia menyokong gabungan itu.

“Terlalu banyak boleh dibicarakan tentang kemenangan mutlak Barisan Nasional dalam PRN Melaka.

“Setinggi-tinggi terima kasih kepada suara akar umbi parti seluruh negara, kerana menaruh kesetiaan keikhlasan kepercayaan serta sokongan yang tidak berbelah bahagi tersemat keyakinan bahawa Umno mampu bangkit semula.

“Jelas keyakinan itu bukan kerana tamak, sombong atau angkuh, sebaliknya berdasarkan analisa yang ikhlas lagi jujur,” katanya.

Beliau berkata Umno akan terus memperkasa dan memperkukuhkan BN bersama parti-parti komponen. – Malaysiapost

Tiada ulasan: