Selasa, 23 November 2021

Umno sedia teruskan rundingan MN – Asyraf Wajdi

MALAYSIA POST

Umno sedia teruskan rundingan MN – Asyraf Wajdi

KEPIMPINAN Umno masih bersifat terbuka untuk meneruskan perundingan Muafakat Nasional (MN) dengan PAS, kata Ketua Pemuda Umno Datu Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurutnya, walaupun Barisan Nasional (BN) menang besar dengan majoriti dua pertiga iaitu 21 daripada 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, jauh sekali untuk berasa selesa mahupun sombong.

“Ramai pemimpin-pemimpin utama PAS yang menghubungi saya menyarankan perundingan MN diteruskan.

“Insya-Allah, Umno sentiasa terbuka untuk berunding bagi maksud kerjasama yang memberikan manfaat kepada ummah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata, sebagai contoh dua kali pertemuan bersama kepimpinan tertinggi Umno dengan delegasi pimpinan PAS diketuai Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum PRN Melaka.

“Waktu itu lagi kami membawa mandat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno untuk menawarkan agar PAS dapat bekerjasama dengan BN atas logo PAS.

“Kami tidak sesekali meminta PAS bertanding atas logo BN tetapi atas logo keramat bulan yang menjadi kebanggaan PAS.

“Bahkan kepimpinan turut menawarkan tiga kerusi DUN yang berpotensi menang kepada PAS termasuk kerusi Duyung kawasan Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Kamaruddin sendiri,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, malangnya PAS lebih terdorong untuk menerima tawaran Bersatu untuk bertanding di kerusi-kerusi yang Umno menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).

“Walaupun berulang kali sebelum ini, Timbalan Presiden PAS memberikan jaminan tidak akan ganggu kerusi-kerusi yang telah dimenangi oleh Umno dalam PRU14.

“Pun begitu, walaupun BN menang besar, kepimpinan Umno masih bersifat terbuka, jauh sekali untuk berasa selesa mahupun sombong dengan kemenangan yang ditakdirkan dalam PRN Melaka,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: