Astro Awani

Noh
berkata, keputusan PRN Melaka akan memberikan impak besar buat MN
sekali gus menjadi penanda aras buat masa depan gabungan tersebut. -
Gambar fail
JOHOR BAHRU:
Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal menjadi petunjuk kepada masa
depan gabungan politik UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN), kata
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar.
Beliau
yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, ia
berikutan PRN itu bakal menyaksikan beberapa pertembungan sengit tiga
penjuru termasuk membabitkan Pas dan UMNO.
Menurutnya, pertembungan itu tidak dapat dielakkan selepas rundingan bersama parti yang lain tidak mencapai kata sepakat.
Tambahnya,
pertembungan dalam PRN Melaka akan mengambarkan situasi yang bakal
berlaku ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
"Kita
di Selangor memang kita dah umum kita hendak MN. Tapi walau
bagaimanapun oleh kerana PRN Melaka, nampaknya tak boleh elak tiga
penjuru.
"Jadi di sini kita akan lihat
sama ada bertemu tiga penjuru ini akan mendatangkan faedah kepada siapa.
Dan di sini, kesan daripada PRN ini akan menjadi contoh pada PRU15 akan
datang," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Noh
berkata, keputusan PRN Melaka akan memberikan impak besar buat MN
sekali gus menjadi penanda aras buat masa depan gabungan tersebut.
Bagaimanapun,
beliau menjelaskan bahawa semua pihak harus tunggu dan lihat situasi di
PRN Melaka itu sebelum menentukan masa depan gabungan MN.
PRN
Melaka bakal menyaksikan pertembungan antara BN, Pakatan Harapan (PH)
dan Perikatan Nasional (PN) yang meletakkan calon masing-masing untuk
bertanding.
Semalam, Timbalan Presiden
Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menzahirkan rasa kecewa dengan
keputusan BN dan UMNO yang mengumumkan bertanding di semua kerusi pada
PRN Melaka.
Tuan Ibrahim dilapor berkata, usaha penyatuan yang dibuat kelihatan sangat positif pada awal namun gagal pada hujungnya.
Hari
ini, beliau menegaskan Pas tidak berhasrat untuk mengundur diri
daripada MN meskipun berlaku pertembungan kerusi pada PRN Melaka,
sebaliknya berkata parti itu akan terus memperkasakan MN yang menjadi
medan besar untuk penyatuan ummah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan