Khamis, 18 November 2021

Maut dihempap lori ketika pasang kain rentang

Anggota bomba mengeluarkan pekerja kontrak warga asing yang maut dihempap lori di Jalan Keretapi Lama, Kapar, petang tadi. - Foto IHSAN JBPM SELANGOR
Anggota bomba mengeluarkan pekerja kontrak warga asing yang maut dihempap lori di Jalan Keretapi Lama, Kapar, petang tadi. - Foto IHSAN JBPM SELANGOR

KLANG: Seorang pekerja kontrak warga India maut dihempap lori pasir yang terbalik di Jalan Keretapi Lama, Kapar dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao, berkata nahas jam 2.30 petang itu membabitkan dua mangsa iaitu lelaki berusia 36 tahun yang maut di tempat kejadian manakala seorang lagi lelaki berusia 50 tahun dilaporkan cedera.

"Siasatan awal mendapati pemandu lori warga tempatan berusia 29 tahun dari arah Kuala Selangor menghala ke Klang gagal mengawal kenderaan selepas melanggar belakang sebuah kereta yang ingin memasuki simpang kanan.

"Lori berkenaan terbalik ke kiri lalu menghempap dua pekerja kontrak yang sedang memasang kain rentang di tepi jalan.

"Seorang mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemandu lori berkenaan tidak cedera dan sudah membuat laporan kejadian di Balai Trafik Klang Utara, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.24 petang.

"Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar bergegas ke lokasi kejadian dan tiba lapan minit kemudian.

"Anggota berjaya mengeluarkan mangsa sebelum menyerahkan mayat kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Tiada ulasan: