Khamis, 18 November 2021

KBS rancang tubuh Universiti Sukan Negara

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bercadang menubuhkan Universiti Sukan Negara pada masa akan datang, kata Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, langkah itu bagi membentuk atlet bermula di peringkat akar umbi, selain melahirkan lebih ramai 'thinking athlete' pada masa akan datang.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini jalinan kerjasama strategik KBS dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sudah menawarkan kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) kepada atlet negara.

"Tawaran berkenaan turut menampailkan pelbagai keistimewaan seperti tawaran biasiswa, modifikasi kursus atau program dan kemudahan latihan.

"Bagi merealisasikan cadangan pembinaan Universiti Sukan Malaysia, KBS sedang memperhalusi dan mengkajinya secara menyeluruh serta mengadakan perbincangan dengan pemegang taruh," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, KBS sedang mengkaji untuk memasukkan elemen 'sukan selamat' dalam Akta Pembangunan Sukan 1997 sebagai komitmen kerajaan menyediakan persekitaran sukan selamat.

"Jawatankuasa Salah Laku dan Perlindungan dalam Sukan sudah ditubuhkan bagi memastikan pengurusan aduan berkaitan sukan prestasi tinggi negara dikendalikan dengan cekap, teratur dan berkesan, tahun lalu.

"Melalui pembentukan jawatankuasa ini, KBS memberi ruang kepada semua individu tampil menyuarakan aduan, masalah dan pandangan pada bila-bila masa," katanya.

Tiada ulasan: