Isnin, 1 November 2021

Lambang perlu sesuai dengan taktikal parti

BH ONLINE
Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

MELAKA: Majlis Syura Ulama yang bersidang hari ini menyerahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk memutuskan penggunaan lambang parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dalam kenyataan malam ini memaklumkan ketetapan itu dibuat bagi membolehkan jawatankuasa berkenaan membuat keputusan berdasarkan strategi kebolehmenangan, selaras Fasal 84, Perlembagaan PAS.

"Majlis Syura Ulama telah membincangkan penggunaan lambang dalam PRN Melaka dari sudut Siyaasah Syar'iyyah dengan menekankan kepentingan perundingan pertandingan satu lawan satu agar kemenangan tidak memihak kepada PH (Pakatan Harapan).

"Majlis Syura Ulama melihat aspek ini dalam kerangka perkara 'mutaghyyirat' (boleh berubah) dan bukannya perkara 'thawabit" (yang tetap). Ia perlu disesuaikan dengan taktikal dan strategi parti.

"Justeru, Majlis Syura Ulama menyerahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk membuat keputusan berdasarkan strategi kebolehmenangan bersama yang terbaik, selaras peruntukan Perlembagaan PAS, Fasal 84," katanya.

Selain itu, beliau berkata, majlis juga meluluskan kelayakan calon bagi PRN Melaka untuk tindakan selanjutnya oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat selaras Fasal 26 (9)(f) perlembagaan parti.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November, penamaan calon pada 8 November manakala undi awal pada 16 November ini.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Oktober lalu apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Dalam perkembangan lain, Majlis Syura Ulama turut sebulat suara memilih dan memperbaharui pelantikan Datuk Hashim Jasin sebagai Mursyidul Am PAS untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa hari ini selaras peruntukan Fasal 8(6) perlembagaan parti.

Majlis Syura Ulama juga menetapkan perwakilan Dewan Ulama PAS Pusat ke Muktamar Tahunan PAS Kali ke-67 yang akan berlangsung pada 6 dan 7 November ini di Kuala Terengganu adalah berstatus pemerhati.

"Pemilihan Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat untuk sesi 2021/2023 pula akan diadakan seberapa segera dengan merujuk kepada aturan dan peraturan yang dibuat oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Hal ini selaras dengan peruntukan Perlembagaan PAS, Fasal 87 (2) dan Fasal 91 (1)," katanya.– BERNAMA

Tiada ulasan: