Jumaat, 19 November 2021

Kenyataan Pengerusi PN Melaka bantah calon Ketua Menteri palsu

PERIKATAN Nasional (PN) Melaka menafikan kenyataan akhbar yang tular kononnya ahli parti menzahirkan ketidakpuashatian melantik calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri.

Kenyataan akhbar kononnya dikeluarkan Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen itu, disahkan palsu oleh Penyelaras Gerak Kerja Penerangan Kempen PN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Badrul Hisham Shaharin.

Menerusi kenyataan akhbar palsu itu kononnya Mohd Rafiq didakwa kecewa kerana PN membuat kesilapan kerana Mas Ermieyati bukan berasal daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Peringatan dan penjelasan ringkas bahawa kenyataan itu palsu, turut dimuat naik dalam Facebook Mohd. Rafiq, hari ini.

Pada 14 November lalu, tular dalam media sosial, poster yang kononnya mendakwa Mohd Rafiq sebagai calon Ketua Menteri Melaka daripada PN.

Ibu Pejabat PN kemudian menafikan pengeluaran sebarang poster berkenaan calon Ketua Menteri Melaka daripada PN.

Sementara itu, memetik laporan Bernama, Rafiq menyokong penuh keputusan mencalonkan Mas Ermieyati sebagai Ketua Menteri Melaka, sekiranya gabungan itu berjaya memperoleh majoriti kerusi pada PRN Melaka, esok.

Beliau berkata, semua pihak perlu menghormati keputusan kepimpinan pusat itu dan memohon seluruh jentera PN Melaka bekerja keras, bagi memenangkan semua calon PN.

“Sebagai orang parti dan juga pemimpin parti, semua pihak harus menghormati keputusan yang telah dibuat oleh pucuk pimpinan, biro politik Bersatu dan juga Majlis Tertinggi PN.

“Saya sebagai Pengerusi PN Melaka memberikan sokongan sepenuhnya kepada keputusan tersebut dan saya meminta, memohon semua jentera PN seluruh Melaka harus bekerja keras bagi kemenangan calon-calon PN di semua kerusi yang kita tandingi,” katanya ketika ditemui media hari ini.

Mohd Rafiq berkata, ura-ura mengatakan beliau tidak dicalonkan sebagai Ketua Menteri kerana tidak disokong sebagai akar umbi Bersatu hanyalah spekulasi semata-mata, malah secara konsisten berkempen bagi memenangi kerusi Telok Mas.

“Saya yakin saya dah turun ke akar umbi, berjumpa secara tidak langsung dengan pengundi-pengundi di masjid, surau dan warung, sokongan kepada PN di Telok Mas sangat positif dan saya yakin rakyat akan terjemahkan sokongan ini pada esok hari iaitu hari mengundi PRN Melaka,” katanya.

DUN Telok Mas menyaksikan saingan empat penjuru dengan Mohd. Rafiq dicabar Datuk Abdul Razak Abdul Rahman daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Ashraf Mukhlis Minghat (Pakatan Harapan) dan Muhammad Ariff Adly Mohammad (Bebas).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, DUN Telok Mas dimenangi oleh Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu) dengan majoriti 1,288 undi.

Tiada ulasan: