Jumaat, 19 November 2021

Najib tarik balik permohonan hartanah didakwa bernilai RM100 juta

Datuk Seri Mohamad Najib Tun Abdul Razak ketika hadir pada sidang media serta pengumuman senarai calon wakil Rakyat Barisan Nasioanl yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Melaka di Menara Dato Onn, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

DATUK Seri Najib Tun Razak menarik balik permohonannya untuk mendapatkan hartanah didakwa bernilai RM100 juta yang layak dipohon oleh mana-mana bekas Perdana Menteri.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, beliau membuat keputusan tersebut dengan mengambil kira keadaan rakyat yang berdepan saat sukar.

“Keutamaan negara adalah pada rakyat,” katanya dalam sidang media di Melaka hari ini, sehari sebelum pilihan raya negeri esok.

Memetik laporan Malaysiakini, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim antaranya mahu bertemu dengan Perdana Menteri bagi membincangkan semula Memorandum Persefahaman (MOU) antara kerajaan persekutuan dan Pakatan Harapan (PH), susulan tindakan kerajaan itu.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga bekas perdana menteri sebanyak dua kali membantah keras keputusan itu.

Najib semalam bagaimanapun berkata permohonan itu bukan hadiah, sebaliknya pemberian biasa kepada semua bekas perdana menteri bawah Akta Ahli Parlimen Saraan 1980 pindaan 2003.

Sementara itu, jelas Najib, beliau hanya memilih satu daripada tiga pilihan bidang tanah yang ditawarkan kerajaan kepadanya.

“Kerajaan beri tiga bidang tanah untuk dipilih maka saya pilih satu. Bukan sudah diluluskan kerajaan hari ini pun.

“Bukan saya minta hadiah RM100 juta dari kerajaan tetapi kediaman seperti diberi kepada kesemua bekas-bekas perdana menteri,” katanya.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau sendiri tidak tahu berapa nilai tanah yang ditawarkan kepadanya.

Katanya, bukan tugas beliau untuk membuat penilaian sebaliknya memilih salah satu daripada tiga pilihan yang ditawarkan mengikut apa yang sesuai dengannya.

“Ini semua bekas Perdana Menteri dapat kerana ia berdasarkan peruntukan akta berkenaan.

“Ada juga bekas Perdana Menteri yang sudah jual tanah yang diterima. Saya tahu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Najib berkata, sekali lagi beliau menjadi sasaran pihak lawan menjelang hari pengundian PRN Melaka esok.

Katanya, ini termasuk soal hartanah yang menjadi polemik ketika ini yang tiba-tiba sahaja dibangkitkan dengan dakwaan ia bernilai RM100 juta.

“Tiba-tiba sahaja diberi nilai RM100 juta. Sedangkan ia tanah kerajaan sedia ada yang diberi kepada saya untuk saya pilih di bawah akta.

“Bukan suruh kerajaan belanja untuk beli tanah dan bagi dekat saya,” katanya.

Tiada ulasan: