Sabtu, 20 November 2021

KWSP RM10,000: Kerajaan jual ganjaran Najib, boleh bantu rakyat

MALAYSIA POST

KWSP RM10,000: Kerajaan jual ganjaran Najib, boleh bantu rakyat

PEMUDA Umno menyanjung tinggi cadangan Datuk Seri Najib Razak agar tanah dan kediaman yang ditawarkan kepadanya dijual, sekali gus hasilnya dimasukkan ke dalam tabung khas untuk kebaikan rakyat.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu tepat pada masanya memandangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz masih enggan meluluskan pengeluaran tambahan KWSP kepada RM10,000 menerusi skim i-Citra.

“Setuju dengan pandangan Datuk Seri Najib Razak yang menyarankan Menteri Kewangan untuk menjual tanah dan kediaman yang ditawarkan kepada bekas PM ke-6 yang dikatakan bernilai RM100 juta bagi membolehkan dimasukkan dalam satu tabung khas untuk rakyat.

“Tabung ini boleh diberikan sebagai pinjaman tanpa sebarang faedah atau kos perkhidmatan kepada mereka yang sudah lama meminta i-Citra KWSP dinaikkan dari RM5k ke RM10k, sekiranya Menteri Kewangan masih tidak mahu meluluskan kenaikan had pengeluaran KWSP ini,” katanya di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Najib dalam sidang media khas petang tadi, menolak ganjaran hadiah berupa sebidang tanah dan rumah daripada kerajaan bernilai RM100 juta.

Najib turut meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengkaji semula Akta Saraan Bekas Perdana Menteri 1980 yang telah digubal pada 2003.

Katanya, penolakan itu dibuat selepas isu terbabit sengaja dimainkan pihak tertentu demi kepentingan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Sementara itu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir membidas ganjaran kerajaan kepada Najib itu dijadikan bahan serangan terakhir pihak lawan sebelum rakyat Melaka keluar mengundi esok.

Katanya, ianya berlaku di saat akhir kempen PRN Melaka yang akan tamat pada jam 11.59 malam ini, sekali gus cuba meyakinkan rakyat Melaka untuk menumbangkan BN.

“Isu melibatkan anugerah tanah kepada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib. Ia menjadi bagai api yang disimbah dengan petrol kebencian, kemarahan dan fitnah.

“Meskipun semua mantan Perdana Menteri terdahulu mendapat keistimewaan ini, tetapi apabila melibatkan Datuk Seri Najib ia menjadi bahan kecaman hebat dari pelbagai sudut.

“Sebentar tadi Datuk Najib mengumumkan untuk menarik balik hasrat terima tawaran hartanah daripada kerajaan bagi mengelakkan satu lagi serangan ke atas sosok dirinya,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: