Isnin, 22 November 2021

Geng ‘Langkah Sheraton’ punca kekalahan teruk PH – Mat Sabu

 MALAYSIA POST

Geng ‘Langkah Sheraton’ punca kekalahan teruk PH – Mat Sabu

KEKALAHAN teruk Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam berpunca daripada pengkhianatan kumpulan yang dikenali ‘Langkah Sheraton’, dakwa Mohamad Sabu. 

Presiden Amanah itu menuding jari kepada kumpulan berkenaan yang kemudiannya membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mac 2020 telah ‘membawa lari’ undi PH pada PRN Melaka, semalam. 

“Keputusan ini jelas menunjukkan Pakatan Harapan hilang sokongan majoriti akibat pengkhianatan Muhyiddin Yasin dan kumpulannya sejak ‘Sheraton Move’. 

“Mereka mendapat kemenangan dalam pilihan raya umum 2018 di atas nama Pakatan Harapan, tetapi beralih arah selepas itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

PRN Melaka yang berakhir semalam, telah menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding PH dan PN yang masing-masing memenangi lima dan dua kerusi. 

Mengulas lanjut, Mohamad menjelaskan, Bersatu dan PAS selain Gerakan dalam PN telah menyebabkan undi kepada PH rendah berbanding BN. 

“Jika dilihat kepada undi popular yang diterima oleh PN dalam PRN Melaka ini adalah sebanyak 77,731. 

“Ia adalah satu jumlah yang telah dicampur dengan undi PAS pada tahun 2018 iaitu sebanyak 44,570. Bermakna Bersatu memperolehi 33,161 undi dalam PRN kali ini.

“Jika dicampur dengan undi popular yang diterima oleh PH iaitu sebanyak 114,457, ianya akan berjumlah 147,457 berbanding BN yang hanya memperolehi 122,741 undi,” katanya.

Justeru, Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, kekalahan PH ini bukan kerana faktor BN diterima rakyat, sebaliknya berpunca daripada PN. 

“Oleh itu jelas di sini bahawa kekalahan PH bukan disebabkan oleh BN yang hanya kekal dengan jumlah undi mereka, tetapi larinya undi akibat pengkhianatan Muhyiddin Yassin dan kumpulannya,” katanya.

Bagaimanapun, Mohamad berkata, PH menghormati keputusan PRN Melaka yang memberi kemenangan kepada BN. 

“Ia adalah kehendak pengundi yang bebas untuk membuat pilihan dalam keadaan pilihan raya yang berlaku dalam suasana pandemik Covid-19 dan halangan kempen yang sangat ketat.

“Di peringkat Parti Amanah Negara dan PH, satu kajian akan dilakukan segera untuk melihat sebab-sebab kekalahan tersebut bagi dibaiki dimasa hadapan.

“Apapun, keputusan telah dibuat oleh rakyat, satu muhasabah perlu dilakukan untuk kebaikan di masa hadapan,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: