Isnin, 22 November 2021

Kemenangan PRN Melaka, ahli Umno jangan riak mendongak ke langit

 MALAYSIA POST

Kemenangan PRN Melaka, ahli Umno jangan riak mendongak ke langit

AHLI parti diingatkan supaya tidak riak atau mendongak ke langit susulan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan berkata, analisa mendalam perlu dilakukan membabitkan semua aspek yang berlaku di Melaka.

“‘Post-mortem’ bukan hanya penting sewaktu keputusan tidak berpihak kepada kita. Ia sama penting sewaktu menang supaya kita tidak tersilap membuat kesimpulan meluas.

“Jika ada yang dah umum akan kaji punca kalah, tidak rugi kita kaji punca menang. Faktor-faktor penyumbang yang dikenal pasti, kita kaji sama ada ia terpakai di tempat dan masa lain.

“Sejarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, Kuala Kangsar dan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu dijadikan iktibar supaya tak berulang,” katanya di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Shahril berkata, calon yang menang perlu fokus kepada janji manifesto seperti yang dihebahkan untuk pelaksanaan 100 hari.

“Tiada ramuan lebih padu untuk kejayaan berterusan daripada kredibiliti sesebuah parti di mata rakyat.

“Mudah-mudahan segala perancangan kita selepas ini membawa kemenangan bukan hanya kepada parti, tetapi kemakmuran kepada negara dan rakyatnya,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: