Isnin, 22 November 2021

Peniaga ayam disyaki lakukan amang seksual terhadap pelajar lelaki

Foto hiasan
Foto hiasan

BACHOK: Polis menahan seorang peniaga ayam, awal pagi tadi, kerana disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki di Tawang, di sini.

Lelaki berusia 32 tahun itu ditahan di rumahnya kira-kira jam 1 pagi, selepas mangsa berusia 16 tahun terbabit membuat laporan polis, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, berkata suspek didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap mangsa dalam sebuah kereta di depan kedai makan di Tawang, 26 Jun lalu.

"Mangsa yang dihantar pulang kemudian dikata menceritakan kejadian itu kepada ibunya, namun tidak membuat laporan polis kerana tidak mahu memanjangkan kes.

"Bagaimanapun, mereka tampil membuat laporan polis, semalam, selepas suspek didakwa masih mengganggu mangsa.

"Suspek turut dikatakan mengugut untuk memfailkan saman terhadap keluarga mangsa, dengan mendakwa mangsa membuat fitnah terhadapnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Ismail berkata, mangsa dikatakan mengenali suspek yang masih bujang itu sejak 2019

"Sejak November tahun lalu, suspek didakwa menyatakan hasrat menjadikan mangsa anak angkat dan mengajak remaja itu berniaga dengannya," katanya.

Susulan tangkapan itu, beliau berkata, suspek direman selama seminggu bermula hari ini hingga 27 November depan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Tiada ulasan: