Selasa, 2 November 2021

Enam penuntut UPNM terlepas hukuman mati bunuh Zulfarhan

Oleh NORLIZAH ABAS
ALLAHYARHAM Zulfarhan Osman Zulkarnain.

KUALA LUMPUR: Enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terlepas daripada sabitan dan hukuman gantung sampai mati terhadap kesalahan membunuh Pegawai Kadet Laut universiti itu, Zulfarhan Osman Zulkarnain, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah sebaliknya memutuskan mereka bersalah terhadap tuduhan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh mangsa di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Mereka terdiri daripada Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali.

ZULKARNAIN Idris (kanan) bersama isteri, Hawa Osman 
(kiri) serta anaknya hadir pada keputusan akhir kes kematian 
anak mereka ,Zulfarhan Osman di Kompleks Mahkamah 
Kuala Lumpur. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Mahkamah turut mendapati keenam-enam mereka dan 12 lagi penuntut bersalah terhadap pertuduhan mencederakan Zulfarhan.

Mereka ialah Mohd. Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala dan Luqman Hakim Shamsuri.

Tertuduh lain ialah Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Perbuatan itu dilakukan di dalam sebuah bilik blok penginapan Asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara pukul 2.30 pagi dan pukul 5.30 pagi 21 Mei 2017.

Tiada ulasan: