JOHOR BAHRU: Rutin harian Putera Muhammad Syafiq Abdul Halim yang merupakan lulusan mikrobiologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) masih lagi sama iaitu menyarung seragam pengawal keselamatan dan meronda di sekitar tempat bertugas.
Pemuda berusia 24 tahun itu yang memegang Ijazah Sarjana Muda Mikrobiologi masih belum menerima peluang pekerjaan lain yang lebih baik dan berbaloi dengan apa dipelajari sebelum ini.
Namun, cita-citanya untuk bergelar saintis tidak pernah pudar dalam radar hidupnya walaupun telah bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kompleks Mahkamah Johor Bahru sejak sembilan bulan lalu.
“Setakat ini, tiada lagi apa-apa tawaran yang saya terima walaupun kisah saya disiarkan akhbar Utusan Malaysia pada pertengahan bulan lalu, tetapi, saya gembira melihat komen dan maklum balas orang ramai yang terus mendoakan saya untuk berjaya di kemudian hari.
“Kata-kata mereka memberikan semangat kepada saya untuk tidak berputus asa dan terus mengejar impian, tetapi, saya faham dalam situasi sekarang memang nak dapat kerja sukar sedikit, jadi, ini peluang saya untuk bekerja dan mencari duit sendiri walaupun hanya sebagai jaga,” katanya ketika ditemui semalam.
Pada 15 Oktober lalu, akhbar ini melaporkan kisah Putera Muhammad Syafiq yang tidak mahu berpeluk tubuh apabila sanggup menyarung pakaian ‘jaga’ demi mencari rezeki walaupun berkelulusan mikrobiologi.
Anak sulung daripada empat beradik itu mendapat tahu kekosongan pekerjaan itu daripada bapanya yang juga bekerja di Mahkamah Tinggi sebagai pembantu am rendah selepas tamat belajar tahun lalu.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Jaafar dan Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan itu mengakui pada awalnya agak bosan kerana perlu bekerja selama 12 jam, namun, lama-kelamaan perasaan itu hilang selepas dia sering bersama-sama rakan sekerja lain yang baik dan komited dengan tugas.
Sementara itu, Putera Muhammad Syafiq memaklumkan, dia bakal menghadiri majlis konvokesyen di UKM Bangi pada Disember ini dan bertekad selagi tidak mendapat pekerjaaan yang sesuai, dia akan terus bekerja sebagai pengawal keselamatan.
“Saya akan berkonvo setelah upacara itu tertangguh sebelum ini berikutan pandemik Covid-19 dan mungkin selepas itu akan cuba berusaha untuk mencari pekerjaan yang lebih sesuai, tetapi, saya tidak akan terus berhenti kerja sebaik mendapat ijazah nanti sebaliknya akan terus kerja seperti biasa.
“Sekurang-kurangnya saya mendapat gaji dan mampu berdikari tanpa mengharapkan bantuan dari ibu bapa saya serta boleh membantu membeli keperluan rumah untuk kegunaan kami sekeluarga,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan