PADANG TERAP: Seorang penternak ikan keli mengalami kerugian sebanyak RM150,000 apabila hasil peliharaannya itu dihanyutkan dalam kejadian banjir di Kampung Tok Salam, Kubang Kenyeng, Naka di sini pada Jumaat lalu.
Amran Shamsuddin, 50, berkata, lebih 200,000 ekor ikan keli yang dipelihara di dalam enam kolam dihanyutkan selepas kawasan tersebut ditenggelami banjir sedalam satu meter pada pukul 3 petang.
Menurutnya, kawasan kolam tersebut ditenggelami banjir apabila air di tali air berdekatan air melimpah selepas hujan lebat kira-kira dua jam.
“Saya dan lapan pekerja cuba memasang pukat untuk menahan ikan keli itu keluar ke tali air tetapi usaha tersebut gagal kerana arus deras,” katanya ketika ditemui di Kampung Tok Salam, Kubang Kenyeng, Naka di sini semalam.
Amran yang mengusahakan ternakan ikan keli sejak 2007 memberitahu, ikan tersebut yang diternak dalam empat kolam telah boleh dijual di pasaran manakala dua kolam lagi baru sahaja dimasukkan anak ikan.
Katanya, setiap kolam mampu menampung sebanyak 100,000 hingga 300,000 ekor ikan keli iaitu bergantung kepada keluasan saiz kolam.
Tambahnya, dia hanya sempat mengeluarkan ikan keli sebanyak satu tan untuk dipasarkan pada dua hari sebelum banjir.
“Kebanyakan ikan tersebut telah ditempah oleh pemborong di pasar sekitar Alor Setar, Pokok Sena, Jitra dan Kuala Ketil.
“Ikan keli itu dijual dengan harga RM4.20 sekilogram,” katanya.
Bagaimanapun tambahnya, dia reda dengan apa yang terjadi kerana semuanya itu adalah ketentuan-Nya.
“Saya hanya mampu berusaha dan tawakal. Semuanya pasti ada hikmah di sebalik kejadian itu,” katanya. -UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan