Rabu, 24 November 2021

Didesak letak jawatan, ini jawapan Anwar…

MALAYSIA POST

Didesak letak jawatan, ini jawapan Anwar…

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia meneliti pandangan semua pihak yang mendesak beliau meletak jawatan.

Bagaimanapun, Presiden PKR itu menegaskan, desakan itu tidak harus dibuat secara angkuh yang boleh menganggu gugat keharmonian PH.

“Itu pandanganlah (desakan letak jawatan). Kita teliti juga tetapi kita beri peringatan jangan nampak pandangan itu dilihat agak angkuh sehingga menimbulkan reaksi tidak baik dalam kalangan lain,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Susulan prestasi buruk PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu, Ahli Dewan Rakyat (Adun) Bilut daripada DAP, Lee Chin Chen, mendesak Anwar berundur daripada menerajui gabungan parti pembangkang itu.

PH hanya menang lima daripada 28 kerusi ditandingi manakala semua 11 calon PKR turut tewas.

Sementara itu, Anwar berkata kekalahan PH perlu dilihat daripada semua aspek kerana setiap pihak ada pandangan sendiri dan kegelisahan yang disuarakan.

“Kena lihat semua aspek kerana ia tak semudah itu. Kita jumpa di kampung macam mana pandangan orang lain, jumpa di bandar, masyarakat Cina, India, Orang Asli dan Melayu majoriti ada beberapa kegelisahan dia perlu dengar,” katanya.

Bagaimanapun Ketua Pembangkang Datuk Anwar Ibrahim berkata beliau bertanggungjawab atas kekalahan PH pada PRN Melaka.

Katanya, keputusan PH menerima dua bekas Adun Umno bertanding pada PRN atas tiket PH tu turut diambil sebagai tanggungjawabnya

“Saya kena pikul tanggungjawab,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: